Wednesday, July 16, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Blackhawk mendarat meriahkan sambutan ISB

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Sebuah helikopter Blackhawk S70i dari Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah mendarat di padang sukan Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), kelmarin, bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-60 sekolah itu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan ISB, semasa helikopter itu mendarat, kakitangan sekolah memasang sepanduk di atas padang yang mempamerkan logo ulang tahun ke-60, selepas itu pelajar dan kakitangan Sekolah Menengah ISB membentuk nombor 60 di atas padang untuk menandakan acara penting itu.

    Berkenan berangkat ke acara itu dan seterusnya melihat helikopter itu secara dekat bersama pelajar lain ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim.

    Seramai 21 orang kakitangan Kementerian Pertahanan dan ABDB dengan diketuai oleh juruterbang, Kapten (U) Awangku Adri Firdaus bin Pengiran Haji Rakawi dan Pegawai Penyelaras Lt (U) Nur Hazwanie binti Asmad turut hadir semasa acara pendaratan itu bagi berkongsi pandangan tentang pelbagai ciri dan fungsi pesawat itu.

    Pengetua Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ISB, Dominic Morley dan Pengurus Besar ISB, Vienna Law kemudian menyampaikan tanda penghargaan kepada kakitangan Kementerian Pertahanan dan ABDB.

    Acara pendaratan helikopter itu bertujuan untuk memeriahkan lagi sambutan ulang tahun ISB dengan sorotan yang tidak dapat dilupakan, di samping memberikan pelajar pengalaman mendebarkan dan pendidikan.

    ISB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pertahanan dan ABDB kerana menjayakan majlis yang bermakna itu. Acara berkenaan juga mengingatkan tentang pendaratan helikopter yang telah diadakan 10 tahun yang lalu di kampus ISB sebelum ini di Berakas pada 11 Jun 2014.

    YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim bersama pelajar ISB di dalam helikopter Blackhawk. – GAMBAR SERAHAN ISB
    Gambar ramai Dominic Morley dan Vienna Law bersama kakitangan Kementerian Pertahanan dan ABDB. – GAMBAR SERAHAN ISB
    Pembentukan nombor 60 oleh pelajar dan kakitangan di sebelah helikopter Blackhawk.- GAMBAR SERAHAN ISB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda