SINGAPURA, 11 NOV – Buat julung kalinya lima bladers dari Negara Brunei Darussalam iaitu Haji Rosaimi bin Haji Lamit, Awang Abdul Yazid bin Haji Jamaludin, kedua-duanya daripada Pasukan DBos Beys (DB), Awang Mohammad Aqim bin Haji Matsah, Awang Junaidi bin Mohd Yussof dan Awang Muhammad Aqil Atthar bin Mohammad Aqim daripada Pasukan Brother’s Geng Bladers (BGB) telah menyertai Beyblade X Serantau 1st Community Regional Championship yang diadakan di Dewa Serbaguna Kelab Komuniti Nee Soon Central, Singapura, baru-baru ini.
Kejohanan yang dihoskan oleh The Playground, TrailBladers, BeyJaxel, Sentinel Games BeyburstMY, BeySide, StingRays, Thailand Beyblade, TU Beyblade itu disertai oleh enam negara iaitu, Brunei Darussalam, Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.
Antara tujuan kejohanan itu diadakan adalah untuk mempromosikan permainan Beyblade X sambil memberi peluang kepada para pemain dari wilayah yang berbeza untuk berhubung, membentuk persahabatan dan meningkatkan kemahiran permainan melalui pembelajaran dan kerjasama bersama.
Pada kejohanan tersebut, bladers negara berjaya memasuki ke peringkat 16 teratas setelah tewas dalam perlawanan penentuan untuk memasuki ke peringkat lapan teratas.
Sebelum kejohanan itu berlangsung, bladers negara juga berpeluang berkunjung ke Johor, Malaysia sekali gus menyertai perlawanan Beyblade persahabatan di antara bladers Brunei dan Malaysia.




