LONDON, 1 Mei – Bekas perdana menteri Britain, Tony Blair hari ini berkata dia kembali terjun ke dalam bidang politik domestik untuk menentang Brexit.
Blair, yang mengetuai Parti Buruh dari tahun 1994 hingga tahun 2007, tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum 8 Jun.
Tetapi Blair berkata dia akan menubuhkan pertubuhan politik untuk membentuk perdebatan dasar ketika Britain memulakan rundingannya untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU).
Blair, 63 tahun, yang pernah menjadi perdana menteri selama sedekad dari tahun 1997 dan yang legasinya telah ditakrifkan dengan perang Iraq, berkata dia menyedari dia akan berdepan kritikan hebat kerana berbuat demikian.
Namun penyokong Eropah bersemangat ini yang sebahagian besarnya mengendali isu-isu Timur Tengah dan Afrika sejak meninggalkan jawatannya, masih ingin melibatkan dirinya dalam kekusutan ini, dengan berkata para pengundi seharusnya mendapat peluang untuk mengubah minda mereka sebaik saja perjanjian akhir keluar EU menjadi jelas.

“Perkara tentang Brexit telah memberikan saya dorongan langsung untuk lebih terlibat dalam politik,” dia memberitahu akhbar Daily Mirror.
“Kita perlu melibatkan diri dan saya akan berbuat demikian.
“Saya tahu sebaik saja saya memperlihatkan diri saya akan disimbah dengan wotsit, tetapi saya benar-benar merasa bersemangat tentang perkara ini.
“Saya tidak mahu berada dalam situasi yang mana kita melepasi detik bersejarah ini dan saya tidak mengatakan apa-apa kerana itu bererti saya tidak mengendahkan tentang negara ini. Saya mengambil endah akan negara ini.
“Saya tidak pasti saya mampu mengubah sesuatu menjadi pergerakan politik tetapi saya berpendapat akan ada idea-idea yang akan disokong oleh orang ramai.”
Dia berkata desakannya bukanlah tentang menentang undi untuk meninggalkan EU.
Dia berkata meninggalkan pasaran tunggal Eropah itu dan berusaha mendapatkan perjanjian perdagangan bebas yang menjadi niat Perdana Menteri Konservatif, Theresa May akan ‘menurunkan kedudukan kita’ dari aturan teratas.
Tinjauan pendapat meletakkan Konservatif jauh mengatasi Parti Buruh, beberapa minggu sebelum pilihan raya umum. – AFP