RAMALLAH, 1 FEB – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken kelmarin membincangkan hubungan dua hala dan perkembangan terkini di Palestin dalam satu perbualan telefon.
Abbas mengulangi kepada Blinken bahawa keadaan semasa tidak boleh berterusan, lapor Agensi Anadolu memetik agensi berita rasmi Palestin WAFA.
Israel sepatutnya menghentikan aktiviti pencerobohan untuk penempatan dan serangan oleh penduduk Yahudi serta pengusiran rakyat Palestin dari kawasan kejiranan Baitul Maqdis, katanya.
Abbas juga menekankan keperluan untuk menghentikan amalan satu hala Israel yang menjejaskan penyelesaian dua buah negara serta melaksanakan perjanjian yang ditandatangani antara kedua-dua pihak.
Beliau menegaskan kepentingan untuk terus berusaha mengukuhkan hubungan dengan AS dan menangani kekangan yang menghalang hubungan itu.
Sementara itu, Blinken menegaskan semula akan komitmen AS terhadap penyelesaian dua buah negara.
Beliau menyatakan pentadbiran Biden menyedari kesukaran politik dan ekonomi yang sedang dilalui pihak berkuasa Palestin dan menekankan penolakannya terhadap pencerobohan, serangan dan pencerobohan penempatan ke kawasan pihak berkuasa Palestin. – Bernama