BAITULMAQDIS, 8 JAN – Diplomat tertinggi Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dijadualkan berada di Israel hari ini untuk rundingan sukar mengenai konflik di Gaza ketika kebimbangan semakin meningkat bahawa konflik tersebut boleh melanda ke wilayah yang lebih luas.
Bercakap di Qatar kelmarin, Blinken berkata bahawa rakyat Palestin yang hilang tempat tinggal akibat konflik yang kini melangkah ke bulan keempat mesti dibenarkan untuk ‘pulang ke rumah’, sambil memberi amaran bahawa keganasan boleh ‘merebak dengan mudah’ kepada konflik serantau.
Sejak permulaan konflik Israel-Hamas, keganasan telah meningkat di Tebing Barat yang diduduki dan di sempadan utara Israel dengan Lubnan, manakala pejuang Huthi Yaman telah melancarkan lebih daripada 100 serangan dron dan peluru berpandu ke arah sasaran di Laut Merah dan Israel.
Pada lawatan keempatnya di rantau itu sejak konflik bermula, setiausaha negara AS dijadualkan melawat Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi hari ini sebelum tiba di Israel, di mana beliau akan dijadualkan untuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin Israel esok.
AS ialah sekutu utama Israel dan membekalkan berbilion dolar bantuan ketenteraan, tetapi ia semakin bimbang dengan jumlah kematian orang awam yang semakin meningkat dalam konflik itu.
Washington telah berkata bahawa Blinken akan menggesa Israel untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan meminta ‘langkah segera’ bagi meningkatkan bantuan ke Gaza. – AFP


