Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Blinken lawat Tebing Barat

    SEMENANJUNG GAZA, 5 NOV – Diplomat tertinggi Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken mengadakan lawatan mengejut ke Tebing Barat hari ini, bertemu dengan Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmud Abbas ketika Israel meneruskan perangnya untuk memusnahkan Hamas yang telah meragut ribuan nyawa.

    Blinken tiba di Ramallah dengan kawalan keselamatan yang ketat sehari selepas bertemu di Jordan dengan Menteri Luar Arab yang marah dengan kematian orang awam yang semakin meningkat di Gaza, di mana Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas berkata berpuluh-puluh terbunuh dalam serangan ke atas kem pelarian.

    Washington telah menolak gesaan untuk gencatan senjata, sebaliknya menyokong matlamat Israel untuk menumpaskan pejuang Hamas yang melancarkan serangan paling teruk dalam sejarah negara itu pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang dan menjadikan 240 tebusan, menurut pegawai Israel.

    Israel tanpa henti mengebom Semenanjung Gaza yang terkepung sebagai tindak balas, meratakan seluruh blok bandar dan membunuh lebih 9,480 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas.

    Blinken menghadapi gelombang kemarahan yang semakin meningkat dalam pertemuan dengan Menteri Luar Arab di Jordan semalam, di mana beliau mengesahkan semula sokongan AS untuk ‘jeda kemanusiaan’ demi memastikan orang awam yang terdesak mendapat bantuan, sehari selepas Netanyahu tidak mengendahkan idea tersebut.

    Blinken seterusnya berlepas ke Turkiye dengan Presidennya Recep Tayyip Erdogan telah mempertanggungjawabkan Netanyahu secara peribadi ke atas peningkatan jumlah kematian orang awam di Gaza.

    Turkiye semalam berkata ia memanggil balik dutanya ke Israel dan memutuskan hubungan dengan Netanyahu. – AFP

    Antony Blinken (kiri) bertemu dengan Presiden Mahmud Abbas di bandar Ramallah kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda