BANGKOK, 6 JULAI – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken dijadual melawat Thailand pada 9 dan 10 Julai bagi memperkukuh pakatan dan perkongsian strategik Thailand-AS.
Kementerian Luar Thailand memaklumkan ia merupakan lawatan sulung Blinken ke negara gajah putih itu selepas memegang jawatan berkenaan.
Beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha dan Timbalan Perdana Menteri Don Pramudwinai yang juga Menteri Luar.
“Lawatan itu juga akan menggalakkan kerjasama dalam pelbagai bidang berdasarkan nilai yang dikongsi bersama dan membawa manfaat kepada kedua-dua negara dan rantau ini,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan. – Bernama