PHNOM PENH, 13 FEB – Seorang aktivis demokrasi dan penulis blog Vietnam telah ditahan di Kemboja selama lebih seminggu kerana dituduh melakukan perjalanan dengan pasport palsu, polis dan keluarganya memberitahu AFP hari ini.
Huynh Trong Hieu, sebahagian daripada keluarga penentang terkenal yang telah bercakap mengenai pelbagai isu politik dan sosial di Vietnam yang dikendalikan oleh Komunis, sedang dalam perjalanan ke Amerika Syarikat (AS) apabila dia ditahan di lapangan terbang Phnom Penh.
“Dia berada di bawah tahanan polis imigresen,” kata jurucakap jabatan imigresen, Mejar Jeneral Sok Sumnea, kepada AFP sambil menambah pihak berkuasa sedang mengesahkan sama ada dia telah memasuki Kemboja secara haram.
Kakaknya, juga seorang penulis blog yang lantang, berkata kepada AFP bahawa polis telah menyimpan pasportnya dan memintanya membayar AS$4,000 untuk dibebaskan.
Hieu, dari wilayah Dak Lak di Tanah Tinggi Tengah, dalam perjalanan ke AS untuk melawat rakan-rakan sebelum menuju ke Kanada untuk melihat anaknya, kata Vy.
“Hieu tidak menggunakan pasport palsu. Kami rakyat biasa, bukan penjenayah,” tambahnya.
Semua media di Vietnam satu parti dikendalikan oleh kerajaan dan penulis blog bebas diharamkan.
Negara itu menduduki tempat ke-174 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia kumpulan kempen Reporters Without Borders. – AFP
