Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Blok Baharu Pusat Kesihatan Jubli Perak, Sengkurong mula beroperasi

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Bangunan Blok Baharu Pusat Kesihatan Jubli Perak, Sengkurong akan mula beroperasi esok, sehubungan itu, majlis Doa Kesyukuran sempena perasmiannya telah diadakan di pusat kesihatan itu, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Ang Swee Hui; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai serta kakitangan di Kementerian Kesihatan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Imam Tingkat 1, Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, Haji Mohd Zaidin bin Haji Mohd Noor dan diikuti dengan lawatan ke blok baharu berkenaan yang diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.

    Projek blok baharu berkenaan termasuk dalam Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-11 dan menelan belanja sebanyak lebih $3.1 juta di atas tapak seluas 0.727 ekar.

    ATAS & BAWAH : Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham diberikan penerangan semasa melawat kemudahan yang terdapat di blok baharu berkenaan. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON
    YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham yang menghadiri majlis doa kesyukuran berkenaan. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Blok Baharu Pusat Kesihatan Jubli Perak, Sengkurong. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    Bangunan itu mula dibina pada 6 Mei 2021 dan telah siap dibina pada 1 Mei 2023 iaitu mengambil masa kira-kira dua tahun pembinaannya.

    Antara perkhidmatan yang dipindahkan dan disediakan di blok baharu berkenaan adalah Kaunter Pendaftaran Pesakit kecuali pendaftaran bagi Klinik Pergigian yang kekal di lokasi sekarang, Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi iaitu klinik umum dan klinik flu serta Perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak.

    Manakala itu, perkhidmatan-perkhidmatan yang masih dikekalkan di blok yang sedia ada adalah Perkhidmatan Pengambil Contoh Darah, Perkhidmatan Farmasi, Perkhidmatan Klinik Pergigian, Perkhidmatan Pemakanan Komuniti, Perkhidmatan Klinik Mata Komuniti serta Perkhidmatan Psikiatri.

    Waktu operasi bagi Pusat Kesihatan Jubli Perak, Sengkurong adalah seperti waktu biasa iaitu bermula pukul 7:45 pagi hingga 12:15 tengah hari dan 1:30 petang hingga 4:30 petang pada waktu bekerja.

    Selain itu, kemudahan perkhidmatan bas ulang-alik bagi pesakit masih disediakan di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong bermula pukul 7 pagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda