TERLETAK di antara bangunan tinggi di pusat bandar Hiroshima, Jepun, Optical Glass House adalah kediaman kaca yang dibina dengan idea seni bina unik berlatarkan blok kaca tulen.
Ia adalah hasil terjemahan idea arkitek negara itu iaitu Hiroshi Nakamura, 43, dengan menzahirkan binaan di kawasan berhampiran jalan raya yang sibuk.
Taman dicipta juga untuk memberikan lebih privasi dan ketenangan dalam persekitarannya kerana ia boleh ditinjau dari kepingan blok kaca optik tulen yang terletak di bahagian depan kediaman itu.
Sinaran cahaya matahari dari timur, pembiasan melalui kaca, mewujudkan bentuk cahaya yang amat menarik, sekali gus menghasilkan ilusi optik yang tidak dijangka dalam ruang dalaman.
Begitu juga pantulan cahaya pada lantai ruang daripada celahan pokok yang berada di taman nyata menyerlahkan suasana berbeza.
Tidak dinafikan bahagian hadapan bangunan turut kelihatan seperti adanya aliran air terjun, pengaliran cahaya dan udara segar.
Memperincikan bahagian hadapan bangunan (kediaman) itu, sebanyak 6,000 blok kaca tulen bersaiz 50 milimeter (mm) x 235 mm x 50 mm digunakan.
Blok kaca tulen dinding dua tingkat tinggi itu dikatakan berkesan untuk ‘menutup’ bunyi bising di kawasan sekitar. Bukan sekadar tenang menghadap taman, malah anda juga terasa berada di kawasan berbeza tanpa gangguan.

Biar pun kediaman itu berada di tengah bandar, namun persekitaran hijau dan tenang bagaikan membawa penghuni berada di sebuah perkampungan jauh dari kesibukan kota.
Uniknya blok kaca bahagian hadapan bangunan itu dikatakan mempunyai berat sekitar 13 tan selain menggunakan rangka keluli konkrit bertetulang.
Dari segi pembahagian ruang pula, di dapati ruang tamu terbuka terletak di bahagian belakang dan hanya dipisahkan dari taman dengan tirai logam ringan. Tirai itu boleh diubah suai kedudukannya.
Bagaimanapun, tangga menjadi bahagian pertama yang dipandang penghuni sebaik masuk ke kediaman itu.
Taman kedua pula terletak di bahagian belakang kediaman, sementara bilik kanak-kanak pula berada di tingkat atas.
Ruang makan dan dapur di tingkat satu serta bilik tidur tambahan ditempatkan di aras bawah.
Hiroshi adalah seorang arkitek yang tidak kurang hebatnya di Jepun. Dilahirkan di Tokyo, beliau antara siswazah bidang sains dan teknologi dari Meiji University.
Selain Optical Glass House binaan lain yang turut menarik perhatian di negara matahari terbit itu adalah Ribbon Chapel, Tokyu Plaza Omotesando Harajuku, Roku Museum dan House .