Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Blok khusus pisau dapur mudahkan akses

    Oleh Amri HTZ –

    Sebagai seorang tukang masak di rumah, pisau dapur memainkan peranan penting dalam penyediaan makanan.

    Keadaan pisau yang sentiasa tajam diperlukan dalam memastikan kerja pemotongan dilakukan dengan sempurna. Hal ini bersangkut paut dengan gaya penyimpanan pisau tersebut di mana pada kebiasaannya ia dicampurkan atau bersentuhan dengan barangan lain.

    Dalam menghindari masalah ini, projek DIY kali ini akan mereka tempat penyimpanan pisau yang sekali gus dapat menjadikan alat tersebut mudah didapatkan.

    Persediaan awal

    Kayu terpakai
    Mesin pemotong kayu meja
    Mesin router
    Gam kayu
    Alat pengapit kayu
    Digital angle gauge
    Vernier caliper
    Kertas pasir

    PILIH KAYU SEBELUM POTONG

    Memandangkan projek kali ini menggunakan kayu terpakai, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah memilih kayu-kayu yang mempunyai warna yang sama. Selain itu, ketebalan kayu yang diperlukan nanti lebih kurang 25mm, dan awda perlulah mendapatkan kayu yang lebih tebal darinya kerana ia akan dipotong lagi nanti untuk mendapatkan ukuran yang selaras bagi semua potongan kayu. (gambar 2)

    Setelah membuat pemilihan kayu, ia kemudiannya akan dipo-tong dengan lebar dan panjang diperlukan iaitu 1 inci (25mm) lebar dan tebalnya sementara 7 inci untuk panjangnya. Untuk memudahkan dan mempercepatkan langkah tersebut, manfaatkan penggunaan rip fence dan mitre gauge mesin pemotong kayu. (gambar 3)

    Gambar 1. – Gambar oleh Bevelish Creations
    Gambar 2. – Gambar oleh Bevelish Creations
    Gambar 3. – Gambar oleh Bevelish Creations
    Gambar 4. – Gambar oleh Bevelish Creations
    Gambar 5. – Gambar oleh Bevelish Creations
    Gambar 6. – Gambar oleh Bevelish Creations
    Gambar 7. – Gambar oleh Bevelish Creations
    Gambar 8. – Gambar oleh Bevelish Creations
    Gambar 9. – Gambar oleh Bevelish Creations
    Gambar 10. – Gambar oleh Bevelish Creations
    Gambar 11. – Gambar oleh Bevelish Creations
    Gambar 12. – Gambar oleh Bevelish Creations

    CANTUM GUNA GAM KAYU

    Potongan kayu tersebut kemudiannya akan dicantumkan menjadi sekeping papan. Untuk itu setiap permukaan cantuman kepingan kayu perlu disapukan menggunakan gam kayu.

    Setelah itu kekalkan kedudukan cantuman menggunakan alat pengepit selama 24 jam. (gambar 4)

    Setelah gam mengering, cantuman kayu tersebut kemudiannya diratakan permukaannya menggunakan mesin ketam. Sebelum itu, lebihan gam kayu yang mengering perlu dibuangkan menggunakan pahat kayu. Ini bagi memastikan bilah mesin ketam kekal tajam dan tidak rosak memandangkan gam kayu yang mengering agak keras dan boleh menjejaskannya. (gambar 5)

    POTONG PAPAN DENGAN SUDUT POTONGAN DIPERLUKAN

    Bentuk keseluruhan rekaan apabila dicantumkan tidak mempunyai ukuran yang sama rata bagi mendapatkan rekaan berbentuk ‘luar biasa’. Bagi bahagian sisi kiri, potongan kayu dengan panjang 25cm akan mempunyai sudut potongan 45 darjah pada bahagian atas dan 39 darjah pada bahagian bawah, diikuti bahagian kiri 21.5cm panjang (45.5 darjah dan 47.5 darjah), bahagian bawah 17cm panjang (39 darjah dan 47.5 darjah) serta bahagian atas 14cm panjang (45 darjah dan 48.5 darjah). (gambar 6)

    Dalam memastikan kedudukan bilah mesin pemotong benar-benar tepat pada kedudukan, gunakan digital angle gauge untuk melakukannya. Untuk menetapkannya, pastikan awda menegakkan bilah mesin 90 darjah dengan permukaan mejanya kemudian set semula alat digital angle gauge tersebut menjadi sifar sebelum mengubah kedudukannya. (gambar 7)

    Setelah menetapkan kedudukan bilah mesin, awda boleh memulakan proses pemotongan hujung kayu dengan sudut diperlukan. Gunakan rip fence sebagai alat panduan ketika menyorongkan kayu. Selain itu, jig khusus untuknya juga boleh digunakan bagi memastikan material dipotong kekal pada kedudukannya. (gambar 8)

    PITA PEREKAT BANTU LANGKAH MENCANTUMKAN

    Apabila kesemua bahagian telah dipotongkan, kini awda boleh mencantumkannya menjadi satu. Memandangkan langkah mencantumkannya dilakukan sekali gus, terdapat teknik untuk mengekalkan kedudukan kesemua bahagian kayu iaitu menggunakan pita perekat.

    Letakkan potongan kayu pada permukaan kerja mengikut kedudukan iaitu bahagian atas, sisi kiri, bawah dan sisi kanan. Setelah itu lekatkan pita perekat pada kawasan cantuman diikuti dengan menyapukan gam. Sesudah itu, awda hanya perlu melipatkan untuk mencantumkan bahagian-bahagian kayu tersebut memandangkan ia sudah ‘dipegang’ oleh pita perekat. (gambar 9)

    Sementara menunggu gam mengering bagi cantuman rekaan, luangkan masa untuk mereka lubang tempat memasukkan pisau pada rekaan. Terlebih dahulu ukur lebar pisau yang akan digunakan menggunakan vernier caliper. (gambar 10)

    Setelah mengukur lebar pisau, tebuk bahagian atas rekaan mengikut kedudukannya (tertakluk kepada jumlah pisau yang ingin ditempatkan) menggunakan mesin router dengan straight bit. Selain cara itu, awda juga boleh menebuk kedua-dua bahagian hujung lakaran diikuti dengan membuangkan bahagian tengahnya menggunakan pahat kayu. (gambar 11)

    Langkah terakhir ialah menempatkan rubber feet pada bahagian bawah rekaan. Ini bagi memastikan ia melekat pada permukaan di mana ia ditempatkan memandangkan ia cenderung untuk sering kali berdepan dengan air. Rekaan yang telah disiapkan tersebut kini boleh ditempatkan pada ruangan dapur yang begitu bermanfaat untuk pisau dimiliki selain menghiasi ruang tersebut. (gambar 12)

    Tip pembuatan

    Gam kayu digunakan perlulah kalis air agar sebarang kelembapan tidak akan menjejaskan cantuman.

    Gosok keseluruhan permukaan rekaan menggunakan kertas pasir untuk mendapatkan hasil akhir yang lebih baik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda