
Filem Blood Brothers: Bara Naga mencetus fenomena luar biasa apabila berjaya mendapat kutipan sebanyak RM9.2 juta hanya dalam dua hari tayangan awal dan rasmi bermula 8 April lalu, menurut laporan mStar.
Susulan kejayaan itu, filem yang sedang ditayangkan di 170 pawagam itu menjadi antara karya tempatan dengan capaian kutipan paling tinggi bagi tempoh tersebut.
Antara negeri yang mencatat kutipan tertinggi ialah Selangor, Johor, Kedah, Pahang dan Terengganu.
Pencapaian luar biasa ini bukti gabungan naskhah penuh aksi, emosi dan nilai persaudaraan masih mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
Blood Brothers: Bara Naga mengisahkan tentang Ariff lakonan Syafiq Kyle, seorang pemuda yang direkrut oleh Ghaz (Sharnaaz Ahmad) untuk menyertai syarikat kawalan keselamatan elit, Silent Guard, di bawah naungan Datuk Zul (Wan Hanafi Su) iaitu seorang ahli perniagaan berpengaruh yang juga merupakan ketua sindiket mafia digeruni dikenali sebagai Naga.
Sejak itu, Ariff mengangkat sumpah setia dan menjadi Blood Brother kepada Ghaz dan kemudian satu ikatan persaudaraan yang tidak boleh dikhianati.
Namun, apabila berlakunya pengkhianatan besar yang menggoncang empayar Naga, Ariff tiba-tiba dituduh sebagai dalang di sebalik musibah tersebut.
Dia kini menjadi buruan dan suspek utama dalam konspirasi gelap yang mengancam nyawanya.
Dalam usaha untuk membuktikan dirinya tidak bersalah, Ariff melarikan diri dan terpaksa mencari perlindungan daripada abang kandungnya yang telah lama terpisah, Jaki (Syazwan Zulkifly).
Namun, di sebalik pelariannya, Ghaz pula diberi mandat untuk menjejaki dan menangkap Ariff demi menegakkan keadilan keluarga Naga yang menuntut balas dendam.
Diarahkan oleh Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, filem ini turut menampilkan barisan pelakon termasuk Irfan Zaini, Andy Teh, Ray Dap Dap, Shukri Yahaya, Amelia Henderson dan Zamarul Hisham. – Agensi