Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Blood Brothers: Bara Naga tarik perhatian penonton Indonesia

    Pelakon Andy Teh menyifatkan filem aksi Blood Brothers: Bara Naga mampu untuk berada di tahap membanggakan setelah mendapat maklum balas positif sejak ditayangkan di Indonesia.

    “Sebenarnya tahap lakonan aksi pelakon kita agak cemerlang kerana bila filem Blood Brothers ditayangkan di Indonesia, kami dapat banyak komen positif. Peminat di Indonesia teruja melihat filem aksi negara kita boleh capai tahap sebegitu (baik).

    “Tapi sudah tentu ia bukan hanya kerana babak aksi sahaja tetapi meliputi seluruh tenaga kerja termasuk jurukamera dan koreografi terbaik,” katanya kepada mStar.

    Andy berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Festival Filem Malaysia ke034 (FFM34) yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) , Hulu Klang, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

    Dalam pada itu, Andy turut meluahkan rasa gembira apabila penganjuran FFM34 kali ini memperkenalkan kategori baharu iaitu Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik.

    “Bila diumumkan kategori baru itu, saya memang rasa gembira mungkin ada peluang untuk tercalon harap-harap adalah rezeki.

    “Sebelum ini saya memang ada buat satu kenyataan di mana pelakon stunt di Malaysia tidak dihargai sepenuhnya. Jadi apabila ada anugerah seperti ini setidaknya kami lebih bersemangat kerana apa yang pelakon aksi lakukan akhirnya dihargai,” ujarnya.

    Andy bagaimanapun memberitahu dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk memenangi kategori tersebut namun berharap sekiranya dapat dicalonkan dalam FFM34.

    “Saya tidak meletakkan harapan tinggi tetapi setiap kali menerima sebarang tawaran berlakon saya akan buat sehabis baik.

    “Jadi saya harap tahun ini, filem Blood Brothers boleh buka mata ramai pihak untuk menerima pencalonan dalam FFM34,” katanya.

    Sebelum ini, FFM34 memperkenalkan satu kategori baharu iaitu Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik sebagai pengiktirafan terhadap kebangkitan filem genre tersebut.

    Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, anugerah tersebut dipertandingkan untuk mengangkat keberanian dan kesungguhan anak seni dalam melakonkan babak sebegitu.

    Kata beliau, ia juga akan menjadi penghargaan buat pengkarya selepas meraih pencapaian nilai tontonan tinggi menerusi filem-filem yang mempamerkan babak aksi.

    Andy berharap untuk menerima pencalonan di FFM34. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda