WASHINGTON, 7 JAN – Syarikat angkasa milik pengasas Amazon, Jeff Bezos, Blue Origin, dijangka melancarkan roket orbit pertamanya, New Glenn, selewat-lewatnya pada Jumaat, 10 Januari, menurut kenyataan syarikat itu semalam.
Pelancaran itu merupakan langkah penting dalam persaingan industri angkasa komersial yang kini didominasi oleh SpaceX milik Elon Musk.
“Jendela pelancaran selama tiga jam akan bermula pada jam 1:00 pagi waktu tempatan,” tambah kenyataan itu.
Misi NG-1 akan membawa prototaip Blue Ring, sebuah kapal angkasa yang dibiayai oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat yang dirancang sebagai platform serba guna untuk pelancaran satelit dan akan kekal di peringkat kedua roket sepanjang penerbangan ujian selama enam jam.
Pelancaran itu menandakan kemasukan Blue Origin ke pasaran pelancaran orbit yang menguntungkan selepas bertahun-tahun menjalankan penerbangan suborbit menggunakan roket lebih kecil, New Shepard, yang membawa penumpang dan muatan dalam perjalanan singkat ke angkasa.
“Ini adalah penerbangan pertama kami, dan kami telah bersiap sedia dengan teliti,” kata Naib Presiden Kanan New Glenn, Jarrett Jones, dalam kenyataan tersebut.
“Namun, tiada ujian di darat atau simulasi misi yang dapat menggantikan pengalaman menerbangkan roket ini. Sudah tiba masanya untuk terbang. Apa pun yang berlaku, kami akan belajar, memperbaiki dan menggunakan pengetahuan itu untuk pelancaran seterusnya,” tambahnya.
Pencapaian itu juga dijangka meningkatkan persaingan antara Bezos, individu kedua terkaya di dunia, dan Musk, yang kini mendominasi industri angkasa melalui SpaceX dan kini dalam golongan rapat Presiden AS terpilih, Donald Trump. – AFP