CAPE CANAVERAL, 10 NOV – Blue Origin, syarikat angkasa lepas milik jutawan Jeff Bezos, terpaksa menangguhkan pelancaran roket New Glenn kelmarin akibat keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Hujan serta masalah pada sistem darat menyebabkan kelewatan, diikuti litupan awan kumulus ketika tempoh pelancaran 88 minit berakhir, meninggalkan pihak pengurusan dengan satu-satunya pilihan iaitu menunda misi kedua roket itu. Pelancaran tersebut dijadualkan berlangsung dalam suasana persaingan semakin sengit antara Blue Origin dan SpaceX milik Elon Musk.
Bagi mengurangkan kesesakan ruang udara sepanjang penutupan kerajaan persekutuan AS, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengehadkan pelancaran roket komersial bermula hari ini.
Namun selepas penangguhan itu, Blue Origin berkata lewat kelmarin bahawa, dengan penyelarasan bersama FAA, mereka menyasarkan percubaan semula seawal Rabu dalam tempoh antara 2:50 petang hingga 4:17 petang.
Apabila ia berjaya dilancarkan akhirnya, roket New Glenn setinggi 98 meter itu akan membawa dua kapal angkasa ESCAPADE milik NASA ke Marikh bagi mengkaji sejarah iklim Planet Merah menjelang usaha penerokaan manusia pada masa hadapan.

Pelancaran itu turut menjadi ujian penting sama ada syarikat itu mampu melakukan pemulihan penggalak, yang akan menjadi pencapaian teknikal besar jika berjaya.
Penerbangan sulung New Glenn pada Januari dianggap berjaya apabila kargonya mencapai orbit dan melakukan ujian dengan baik. Namun penggalak peringkat pertamanya, yang direka untuk digunakan semula, gagal mendarat di platform di Atlantik dan hilang semasa proses penurunan.
Dalam percubaan kedua ini, Blue Origin akan cuba sekali lagi memulihkan penggalak tersebut. Setakat ini, hanya SpaceX milik Musk yang berjaya melakukannya.
Persaingan antara Musk dan Bezos kini semakin memuncak, terutamanya selepas NASA membuka bidaan untuk misi Bulan yang dirancang, serta aduan mengatakan SpaceX dikatakan ‘ketinggalan’.
George Nield, eksekutif aeroangkasa kanan yang pernah terbang bersama Blue Origin dan aktif mempromosikan industri angkasa komersial, berkata kepada AFP bahawa risiko pelancaran New Glenn adalah tinggi. – AFP

