Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    BM perlu berwajah baharu agar kekal relevan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Bahasa Melayu (BM) bukan sekadar alat komunikasi, malah ia merupakan kepemilikan bangsa Melayu iaitu satu warisan yang telah membina tamadun, merakam sejarah dan membentuk fikrah masyarakat serantau sejak ratusan tahun dahulu.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, dalam ucapan alu-aluannya semasa Majlis Sambutan Bulan Bahasa 2025 yang berlangsung di Balai Sarmayuda, DBP, petang tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Selain itu menurut Awang Suip lagi, dalam era globalisasi dan ledakan teknologi masa kini, BM perlu diberi wajah, suara dan platform baharu agar kekal relevan dan dinamik.

    Beliau menekankan memperkasa BM bukan hanya bermaksud mempertahankan, tetapi menghidupkan peranan bahasa ini dalam semua lapangan kehidupan termasuk sebagai bahasa ilmu, komunikasi digital, profesional dan industri kreatif.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bergambar ramai bersama mereka yang diraikan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Majlis diserikan dengan Bual Bicara ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Majlis Sambutan Bulan Bahasa 2025 membawa tema Memperkasakan Bahasa Melayu, merupakan manifestasi cinta dan tanggungjawab kolektif dalam memastikan bahasa ini terus difahami, dikuasai dan disebarluaskan.

    “Bahasa itu bangsa. Jika bahasa longgar, longgarlah jati diri. Tetapi jika bahasa itu teguh, maka teguhlah nilai dan pemikiran bangsa,” tegas beliau.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan, bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Majlis turut menyaksikan Ikrar Bahasa oleh 11 peserta daripada Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SkiPPA), Program i-Ready dan penuntut penempatan kerja di jabatan kerajaan, sebelum diteruskan dengan ucapan dan pelancaran rasmi Sambutan Bulan Bahasa 2025 termasuk pelancaran lapan buku terbaharu terbitan DBP.

    Majlis turut diserikan dengan Bual Bicara ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ oleh tiga orang panel iaitu Dr Hurul’Ain Nukhbah binti Rabaha, Dr Muhammad Najib bin Noorashid, dan Dr Sarah Hanna binti Haji Ahmad Ghazali dan dikendalikan oleh Dayang Masni binti Moktal.

    Penyampaian sijil, hadiah dan cenderamata kepada para panel, pelajar cemerlang, pemenang pertandingan bahasa serta rakan strategik juga disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, ketua-ketua jabatan, penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, duta-duta bahasa, rakan strategik serta para penulis dan pencinta bahasa.

    Sambutan Bulan Bahasa tahun ini akan diteruskan sepanjang tahun dengan pelbagai program termasuk Hadiah Pesta Buku Brunei, Pertandingan Pidato Kebangsaan, Pertandingan Mari Bercerita, Duta Bahasa, Tamu Bahasa dan Baca Bahana sebagai usaha berterusan dalam menyemarakkan kecintaan masyarakat terhadap bahasa Melayu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda