Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Sebanyak 60 pain darah berjaya dikumpul dalam Kempen Derma Darah anjuran Brunei Methanol Company Sdn Bhd (BMC) yang diadakan di Bilik Pertolongan Cemas BMC, hari ini.
Kempen derma darah ini merupakan kali kedua yang diadakan oleh BMC bagi tahun ini, dengan kerjasama Pusat Derma Darah Hospital Suri Seri Begawan (SSBH) di bawah Jabatan Perkhidmatan Makmal.
Inisiatif ini antara lain bertujuan membantu menambah semula bekalan darah negara yang amat diperlukan serta memberi sumbangan bermakna kepada komuniti selaras dengan seruan nasional untuk menderma darah secara berkala.
Usaha seumpama ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesiapsiagaan sistem penjagaan kesihatan bagi menghadapi kecemasan mahupun keperluan perubatan rutin.
Sebagai sebahagian daripada strategi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) BMC di bawah #RESPECT, syarikat terus menggalakkan pekerja dan kontraktor untuk menjadi penderma darah tetap, menyedari kepentingannya dalam menyelamatkan nyawa dan memperkukuh kesihatan masyarakat.


