Friday, October 11, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    BMC galak gaya hidup sihat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Syarikat Brunei Methanol Sdn Bhd (BMC) telah menganjurkan kempen kesihatan hari ini, bersempena dengan Hari Jantung Sedunia dan Hari Kesihatan Mental Sedunia.

    Kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran pekerja tentang isu kesihatan kardiovaskular dan kesejahteraan mental. Inisiatif tersebut sejajar dengan komitmen BMC untuk membina tenaga kerja yang sihat dan berdaya tahan.

    Acara dimulakan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang Cabaran Langkah suku 2 dan suku 3 sebagai sebahagian daripada kempen BN on the Move (BNOTM) x BMC 2024, yang disampaikan oleh Pegawai Eksekutif BMC, Yasuhisa Tsukamoto, sebagai galakan untuk gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan pekerja.

    Salah satu acara utama kempen tersebut ialah sesi ceramah kesihatan oleh pakar-pakar perubatan. Dalam pada itu, Pegawai Perubatan dari Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dr Dayangku Nur Izyan Nadhirah binti Pengiran Haji Mohammad memberi penerangan mengenai penjagaan jantung serta langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Beliau menggesa pekerja untuk mengutamakan kesihatan jantung melalui pemeriksaan berkala, senaman, dan pemakanan seimbang, sejajar dengan tema Hari Jantung Sedunia tahun ini, Heart for Action.

    Manakala, Pegawai Perubatan Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dr Norhanani Nadzirah binti Haji Mohd Taib, menerangkan program Indeks Kesihatan yang bertujuan memantau dan meningkatkan status kesihatan keseluruhan di negara ini.

    Sementara itu, Pakar Kesihatan Klinik Dr Amir, Dr Haji Mohammad Rizal bin Dr Haji Sablee, menekankan pentingnya kesejahteraan mental di tempat kerja. Merujuk kepada tema Hari Kesihatan Mental Sedunia, It’s Time to Prioritise Mental Health in the Workplace, beliau menggesa syarikat menyediakan persekitaran yang menyokong keseimbangan mental dan mengurangkan tekanan kerja.

    Sesi soal jawab juga diadakan untuk memberi peluang kepada pekerja mendapatkan penjelasan lanjut daripada pakar perubatan, membolehkan perbincangan terbuka mengenai pengurusan kesihatan fizikal dan mental dalam persekitaran kerja yang sibuk.

    Selain itu, kempen tersebut menyediakan petak pameran yang menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma, bahan pendidikan dan nasihat mengenai gaya hidup sihat.

    Melalui kempen ini, BMC berusaha menggalakkan pekerjanya untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental, selaras dengan usaha syarikat dalam membina persekitaran kerja yang menyokong kesejahteraan menyeluruh. Langkah itu juga menyumbang kepada matlamat mewujudkan negara sihat yang disasarkan dalam Wawasan 2035.

    Yasuhisa Tsukamoto menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang Cabaran Langkah suku 2 dan suku 3. – GAMBAR SERAHAN BMC
    Suasana semasa kempen kesihatan yang diadakan kelmarin. – GAMBAR SERAHAN BMC
    GAMBAR SERAHAN BMC
    GAMBAR SERAHAN BMC
    GAMBAR SERAHAN BMC
    GAMBAR SERAHAN BMC

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda