KUALA Belait, 2 JUN – Brunei Methanol Company Sdn Bhd (BMC), baru-baru ini, telah menjalankan Program Bantu dan Prihatin buat kali ke-6 bagi lima buah keluarga kurang berkemampuan di Kampung Sungai Liang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan BMC, program berkenaan merupakan sebahagian daripada projek tahunan tanggungjawab sosial korporat dalam bulan Ramadan, di mana syarikat berkenaan juga menggalakkan kakitangannya secara sukarela meluangkan masa dan menyokong acara tersebut.
Kenyataan menyatakan, kunjungan bagi menyampaikan sumbangan berkenaan telah diketuai oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Dayang Sharidatul Maryani binti Haji Mohd Saidin dan melibatkan sekumpulan kakitangan BMC.
Keluarga-keluarga yang terpilih berkenaan menerima sumbangan berupa keperluan rumah bagi mengurangkan beban mereka semasa Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang dalam masa beberapa hari sahaja lagi.
