Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    BMC tanam 100 pokok sokong BNCCP

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Dalam menyokong Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BNCCP), Syarikat Brunei Methanol Company Sdn Bhd (BMC) mengadakan acara menanam pokok yang berlangsung di Hutan Simpan Berakas, hari ini.

    Inisiatif itu mencerminkan komitmen BMC kepada penglibatan masyarakat dan pengurusan alam sekitar, selaras dengan matlamat BNCPP untuk meningkatkan liputan hutan tempatan dengan menanam sebanyak 500 ribu pohon pokok menjelang 2035 supaya dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon dan memberikan kesan positif kepada ekosistem, biodiversiti dan habitat Brunei.

    Hadir dan sama-sama menyertai kegiatan berkenaan ialah Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Hajah Martinah binti Haji Tamit; Duta Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru dan Pemangku Port Master, Maritime and Port Authority Brunei Darussalam, Kapten Basza Alexzandar bin Haji Basri.

    Acara itu turut disertai oleh kakitangan BMC, sukarela belia dan ahli-ahli Green Brunei yang menggariskan komitmen BMC kepada pemuliharaan alam sekitar, pengurusan hutan mampan dan pengurangan pelepasan gas rumah hijau.

    Dalam kata alu-aluannya, Ketua Pegawai Eksekutif BMC, Jesus Enrique Mora Marin menyatakan usaha berkenaan bukan sahaja mengenai menanam pokok tetapi ia adalah mengenai memupuk kehidupan, memulihkan ekosistem dan menyumbang kepada bumi yang lebih sihat serta hijau untuk generasi akan datang.

    Jesus Enrique Mora Marin menyampaikan ucapan alu-aluannya

    Sebanyak 100 pohon pokok telah ditanam oleh para peserta yang hadir untuk menjayakan acara berkenaan. Usaha berkenaan merupakan kesinambungan kepada usaha terdahulu di lokasi yang sama pada September 2023 di mana ia mencapai 100 peratus kadar kelangsungan hidup, iaitu sebagai bukti kepada usaha BMC dalam pemuliharaan dan pemulihan ekosistem.

    Inisiatif penanaman pokok berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi tanggungjawab sosial korporat BMC, #RESPECT yang selaras dengan matlamat kemampanan BMC bagi rendah karbon dan operasi perniagaan berdayatahan iklim.

    Jesus Enrique Mora Marin menyampaikan sepohon pokok kepada Hajah Martinah sebagai simbolik kepada acara menanam pokok berkenaan.
    Jesus Enrique Mora Marin menyampaikan sepohon pokok kepada TYT Maeda Toru sebagai simbolik kepada acara menanam pokok berkenaan.
    Atas & Bawah: Sesi bergambar ramai antara Jesus Enrique Mora Marin, Hajah Martinah, TYT Maeda Toru serta para jemputan khas sebelum acara dimulakan.     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda