Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Syarikat Methanol Brunei (BMC) hari ini, menerima lawatan pendidikan daripada Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah, Kuala Belait dalam memperkayakan pengetahuan para pelajar.
Rombongan yang diketuai oleh Awang Muhammad Musa bin Haji Maidin itu disertai oleh tiga orang tenaga pengajar dan sembilan orang pelajar tahun akhir Sijil Tertinggi Kebangsaan Pendidikan Teknikal (HNTEc) dalam Instrumentation and Control Engineering.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BMC, Awang Abdul Mu’izz bin Dato Paduka Haji Alikhan dalam ucapan alu-aluannya menekankan kepentingan menyaksikan secara langsung penggunaan instrumentasi dalam industri hiliran.
Lawatan pendidikan tersebut memainkan peranan penting dalam mendidik pelajar kerana mempelajari sesuatu dengan melihatnya secara langsung adalah jauh lebih baik daripada hanya belajar daripada buku.
Para pelajar bersemangat dan teruja dalam jangkaan kerana mereka mengadakan sesi interaktif dengan pasukan operasi mengenai pelbagai topik termasuk proses, instrumentasi dan teknologi yang digunakan dalam menghasilkan metanol.
Lawatan membawa pelajar ke kawasan proses penyulingan dan Super Converter Reactor (SPC), di mana mereka diperkenalkan dengan aplikasi pemancar aras, aliran dan tekanan di tapak.
Ia kemudian diikuti dengan lawatan ke Centralised Control Room (CCR) untuk Distributed Control System (DCS).



