Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Bersempena Sambutan Hari Anti-Rasuah Antarabangsa 2023, Biro Mencegah Rasuah (BMR) telah mengadakan Taklimat dan Bengkel Pencegahan Rasuah Bersama Belia di Dewan As-Saadah, Ibu Pejabat BMR, Jalan Lapangan Terbang Lama, Berakas, baru-baru ini.
Antara tujuannya adalah untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran belia mengenai bahaya jenayah rasuah dan menggalakkan penglibatan mereka dalam sama-sama membanteras dan menentang rasuah di negara ini dengan berkongsi dan membarigakan pengetahuan yang diperolehi daripada program itu dengan keluarga dan sahabat masing-masing.
Pada masa yang sama, program tersebut juga dijadikan sebagai platform bagi sesi perbincangan dan pertukaran idea serta pendapat antara pegawai-pegawai BMR dengan belia mengenai cara atau pendekatan yang belia boleh lakukan sebagai sumbangan mereka dalam menentang rasuah di negara ini.
Dengan kerjasama antara BMR dengan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), seramai 23 orang belia yang berlainan latar belakang pendidikan telah menyertai program itu.
Selain daripada mengadakan taklimat dan bengkel, BMR juga telah merasmikan Galeri Wiqaya yang mempamerkan usaha dan aktiviti pencegahan rasuah yang dijalankan oleh BMR. Galeri berkenaan telah dirasmikan oleh Pengarah BMR, Datin Paduka Hajah Anifa Rafiza binti Haji Abdul Ghani.
BMR telah memulakan Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2023 pada 7 Disember lalu dengan mengadakan majlis membaca Surah Yasin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji Abdul ‘Azim.
Rombongan BMR telah diketuai oleh Timbalan Pengarah, Syed Azmal bin Syed Ali dan disertai oleh pegawai-pegawai dan kakitangan BMR.




