Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    BMR tidak terlibat dalam panel perolehan tender

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Biro Mencegah Rasuah (BMR) tidak terlibat sebagai ahli panel bebas dalam proses perolehan tender-tender kerajaan bagi mengekalkan statusnya sebagai sebuah agensi penguat kuasa yang bebas dan berkecuali.

    Perkara ini dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, sebagai menjawab soalan lisan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari ini.

    Yang Berhormat Awang Amran meminta penjelasan mengenai penglibatan BMR sebagai ahli panel bebas bagi memastikan proses tender kerajaan berjalan dengan telus, adil dan bebas daripada unsur penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan.

    Dalam jawapan balasnya, Menteri menerangkan bahawa BMR merupakan agensi penguatkuasa undang-undang yang diberi kuasa penuh di bawah Akta Pencegahan Rasuah (Penggal 131) untuk menyiasat sebarang bentuk kesalahan rasuah, sama ada dalam sektor awam atau swasta.

    “BMR juga mempunyai mandat untuk meneliti dan menyemak amalan, sistem dan prosedur dalam badan-badan awam yang dikenal pasti boleh membuka ruang kepada perlakuan rasuah serta mencadangkan pembaikan,” jelas beliau.

    Tambahnya, BMR turut giat memainkan peranan dalam bidang pendidikan dan kesedaran awam melalui ceramah, jerayawara, bengkel serta program Pendidikan Pencegahan Rasuah bagi memupuk nilai integriti dan akauntabiliti dalam kalangan masyarakat dan perkhidmatan awam.

    Menjelaskan inisiatif terkini, Yang Berhormat Pehin turut menyebut bahawa pada tahun 2022, BMR telah melaksanakan program Training of Trainers yang bertujuan melatih pegawai fokal di jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC).

    “Latihan ini bertujuan memperkasakan integriti di agensi masing-masing serta membantu ketua jabatan mengenal pasti isu-isu yang wajar diberikan perhatian dan, jika perlu, dirujuk kepada BMR,” jelas beliau lagi.

    Berhubung persoalan utama yang dibangkitkan, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa BMR tidak dilibatkan sebagai ahli panel bebas dalam urusan menilai atau membuat keputusan berkaitan perolehan tender kerajaan.

    “Ini adalah bagi memelihara kedudukan BMR sebagai sebuah agensi penguatkuasa bebas dan mengelakkan kemungkinan persepsi konflik kepentingan, terutamanya sekiranya terdapat aduan yang memerlukan siasatan berkaitan aspek perolehan tersebut,” tegas beliau.

    Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam panel tender, Yang Berhormat Pehin menekankan bahawa BMR tetap mempunyai bidang kuasa penuh untuk menyiasat mana-mana kes yang melibatkan salah laku atau kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah.

    “Jika terdapat aduan mengenai salah laku dalam proses tender, BMR boleh mengambil tindakan dan menjalankan siasatan sewajarnya,” katanya.

    Penjelasan tersebut menggambarkan komitmen kerajaan dalam memastikan sistem pentadbiran yang telus dan berintegriti, di samping menjamin bahawa setiap proses perolehan kerajaan dilaksanakan secara adil dan bebas daripada unsur penyelewengan.

    “Kerajaan sentiasa berusaha memperkukuh tadbir urus yang baik dan menegakkan prinsip ketelusan, dan dalam hal ini, BMR memainkan peranan penting sebagai badan penguatkuasa yang bebas dan berwibawa,” tambah beliau mengakhiri ucapannya.

    Antara yang hadir semasa Persidangan MMN kelmarin. – Gambar oleh Rafi Rosli
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda