HANGZHOU, 27 MAC – Pengeluar kereta Jerman, BMW dan syarikat gergasi e-dagang China, Alibaba mengumumkan kerjasama strategik yang diperluaskan di China bagi mengintegrasikan model bahasa berskala besar (LLM) kecerdasan buatan (AI) ke dalam kenderaan generasi baharu BMW, lapor Xinhua.
Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada strategi AI menyeluruh BMW di China, yang diperkenalkan pada Selasa lalu dan menekankan perkongsian dengan syarikat teknologi terkemuka China dalam bidang termaju seperti LLM AI dan interaksi suara pintar.
Kedua-dua syarikat akan bekerjasama membangunkan enjin AI berasaskan model bahasa Qwen, milik Alibaba. Enjin AI ini akan digunakan dalam Pembantu Peribadi Pintar dalam kenderaan BMW, yang akan diperkenalkan pada model generasi baharu Neue Klasse, yang akan dibuat di China dan dijadual memasuki pasaran pada 2026.
“Kerjasama jangka panjang kami dengan Alibaba Group menjadi contoh pertumbuhan bersama menerusi penciptaan bersama. BMW akan memperkukuh kerjasama dengan rakan teknologi China dalam mobiliti elektrik dan teknologi pintar untuk mencipta kisah menang-menang kami yang baharu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BMW Wilayah China, Sean Green.
Dengan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Beijing, Shanghai, Shenyang dan Nanjing, BMW telah membangunkan rangkaian R&D terbesarnya di luar Jerman di China.
“Kerjasama kami dengan Kumpulan BMW menandakan satu lonjakan penting dalam penerapan LLM AI dalam sektor pembuatan canggih. Integrasi Qwen ke dalam sistem kenderaan BMW menunjukkan bagaimana AI boleh merevolusikan mobiliti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alibaba, Eddie Wu.
BMW dan Alibaba telah bekerjasama sejak 2015 dalam pelbagai bidang, termasuk pengkomputeran awan, logistik dan pembuatan pintar.
Awal bulan ini, BMW turut mengumumkan kerjasama dengan syarikat teknologi China, Huawei bagi membangunkan ekosistem digital dalam kenderaan yang disesuaikan khusus untuk pasaran China. – Bernama/Xinhua
