Wednesday, February 12, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    BMW iX kini di Brunei

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – BMW iX menjadi kereta elektrik kedua BMW yang memasuki pasaran Brunei Darussalam dengan majlis pelancaran yang berlangsung di Bilik Pameran QAF Auto Sdn Bhd, Perindustrian Beribi II, hari ini.

    Hadir menyempurnakan pelancaran ialah Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo dan Ketua Jualan QAF Auto, Daniel Loo.

    Kereta berkenaan menggabungkan keseronokan pemanduan, ketangkasan dan daya tarikan dengan ciri profil khusus untuk kemampanan.

    Dengan reka bentuk yang menarik dan dalaman yang mewah, BMW iX pertama itu menjelmakan sentuhan konsep baharu kenderaan aktiviti sport (SAV).

    Ia dipacu motor elektrik yang memberikan kuasa hingga 326hp (240kW) dan tork 630Nm, yang membolehkannya dipecut daripada sifar ke 100kmsj dalam masa 6.1 saat dan kelajuan maksimum mencecah 200kmsj.

    Alisa Khoo dan Daniel Loo di samping BMW iX yang baru dilancarkan.

    Kuasa yang disalurkan untuk e-motor dijana daripada bateri lithiumion dengan kapasiti tenaga 76.6kWh (71 kWh) mampu memberikan jarak sehingga 425km mengikut standard WLTP.

    Untuk pengecasan, xDrive40 menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW menerusi sambungan Type 2, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar tujuh jam dan 15 minit. Ada juga pengecas pantas DC dengan kuasa sehingga 150kW menggunakan sambungan CCS2, boleh mengecas sifar hingga 80 peratus dalam masa 31 minit.

    Varian xDrive40 didatangkan dengan ciri standard termasuk lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi, roda aerodinamik 21-inci serta bingkai dekoratif moulding dan penutup tingkap dengan rona hitam berkilat.

    Menurut BMW, dengan reka bentuk baharu, tepat dan minimalis, BMW iX adalah wakil pertama generasi kereta yang dijangka memberikan pengalaman pemanduan baharu, ruang dalaman yang luas serta hubungan antara kenderaan dan penumpang.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai dengan kereta elektrik BMW pertama di Brunei itu, orang ramai bolehlah mengunjungi bilik pameran QAF Auto.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda