BMW kekal optimistik

Oleh Syahmi Hassan

MUNICH, 6 OGOS – Kumpulan BMW mencatat keuntungan sebelum cukai berjumlah 498 juta euro dalam separuh pertama 2020 meskipun kemelesetan pasaran berpunca daripada pandemik koronavirus.

Dalam satu kenyataan yang diterima, Kumpulan BMW menyatakan, mereka telah melancarkan semula kemudahan pengeluarannya pada suku kedua selepas melaksanakan pengurangan terkawal di kebanyakan kilang pada Mac sebagai respons terhadap kemerosotan dalam permintaan global.

“Tindak balas pantas dan strategi pengurusan kami yang konsisten membolehkan kami untuk mengawal impak pandemik COVID-19 ke atas Kumpulan BMW pada separuh pertama tahun ini,” kata Ketua Lembaga Pengurusan BMW AG, Oliver Zipse, di Munich, kelmarin.

“Kami sekarang menantikan tempoh enam bulan kedua dengan optimistik dan terus menyasarkan margin EBIT antara 0 dan 3 peratus untuk segmen Automotif pada tahun 2020.

“Kami sedang memantau situasi semasa dan mengendalikan kapasiti pengeluaran sejajar dengan perkembangan pasaran serta ketidakpastian dalam permintaan pelanggan di rantau-rantau,” tambahnya.

Selain itu, Kumpulan BMW berkata, ia tetap komited dengan rancangannya dan akan melabur dalam bidang teknologi berorientasikan masa depan serta mengembangkan kepakarannya meskipun berdepan persekitaran pasaran yang mencabar.

“Kami melabur dengan hati-hati dan secara perkadaran. Memandangkan situasi sekarang, kami sama ada akan menangguhkan atau meneliti lagi projek kami. Seperti yang diumumkan, kami juga telah menurunkan tahap inventori secara sistematik pada suku kedua dengan tujuan untuk melindungi aliran tunai bebas,” kata ahli Lembaga Pengurusan BMW AG, Kewangan, Nicolas Peter.

Sebagai pembuat kenderaan elektrik yang terkemuka, Kumpulan BMW akan menawarkan lima kenderaan elektrik yang dihasilkan secara bersiri dalam bentuk BMW i3*, MINI Cooper SE*, BMW iX3*, BMW iNEXT dan BMW i4 menjelang 2021. Generasi seterusnya bagi BMW 7 Series akan menandakan satu lagi kejayaan penting. Model utama jenama BMW akan tersedia dengan empat jenis sistem motor (drivetrain).

Kumpulan BMW berhasrat untuk memiliki 25 model elektrik di jalan raya dan separuh daripadanya adalah versi elektrik sepenuhnya pada 2023.

Meskipun kemelesetan pasaran akibat pandemik koronavirus, Kumpulan BMW tetap optimistik bagi tempoh enam bulan seterusnya. – Gambar serahan Kumpulan BMW