Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – QAF Auto, pengedar tunggal kenderaan BMW di Brunei, melancarkan model edisi khas BMW 318i Touring M Performance Edition kepada pihak media kelmarin sempena sambutan ulang tahun ke-50 model ikonik BMW 3 Series.
Hadir melancar kereta berkenaan yang berlangsung di salah sebuah restoran di Kiarong ialah Pengurus Besar Qaf Auto, Alisa Khoo dan Ketua Jualan Qaf Auto, Eugene Lim.

Menurut kenyataan, BMW 3 Series yang sinonim dengan keseronokan pemanduan dan teknologi premium sejak tahun 1975 telah mencatatkan lebih 20 juta unit terjual di seluruh dunia sejak pelancarannya, menjadikannya peneraju dalam segmen kenderaan premium bersaiz pertengahan. Hampir tiga juta daripadanya adalah dari generasi ketujuh.
Model baharu ini menampilkan kemas kini menyeluruh dalam reka bentuk, kuasa enjin, digitalisasi dan teknologi dalaman. BMW Operating System 8.5 yang dipadankan dengan sistem BMW iDrive bersama QuickSelect menyediakan pengalaman kawalan yang lebih intuitif serta fungsi navigasi terkini seperti Augmented View.
BMW 318i Sedan dan 318i Touring masing-masing dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder sebaris berkapasiti 1,998cc, dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan. Kedua-duanya menghasilkan output maksimum 115 kW / 156 hp pada 4,500 – 6,500 rpm dengan tork maksimum 250 Nm pada 1,300 – 4,300 rpm.
Dari segi kecekapan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon (mengikut kitaran WLTP) BMW 318i Sedan mencatat penggunaan bahan api 7.2 – 6.4 liter/100km dan pelepasan karbon dioksida 162 – 145 g/km, dikategorikan dalam kelas F – E. Manakala, BMW 318i Touring pula mencatat 7.5 – 6.7 liter/100km dengan pelepasan karbon dioksida 168 – 151 g/km, juga dalam kelas F – E.
Reka bentuk luaran kedua-dua kereta berkenaan dilengkapkan dengan rim aloi ringan baharu dan pilihan warna cat terkini yang menambahkan gaya sporty dan elegan. Ruang dalaman diserlahkan lagi dengan BMW Curved Display, stereng baharu dan elemen hiasan moden yang menampilkan suasana mewah kontemporari.

Ciri-ciri tambahan termasuk pakej M Sport dan M Sport Pro, serta BMW M Performance Parts yang direka khas bagi memperhebatkan karakter sporty kenderaan yang menampilkan komponen aerodinamik dan rim aloi yang diinspirasikan dari dunia perlumbaan.
BMW 3 Series kekal sebagai lambang keseronokan pemanduan dalam segmen premium dan terus menjadi pilihan utama bagi mereka yang mengutamakan prestasi, gaya dan inovasi.
Semua di atas: Rekaan dalaman kenderaan berkenaan.
Orang ramai dijemput hadir ke pameran di BMW Showroom, Beribi untuk menyaksikan sendiri model eksklusif BMW 318i Touring M Performance Edition, serta merasai sendiri pengalaman memandu model BMW 318i Sedan dalam sesi pandu uji.
