Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Sempena Ulang Tahun ke- 50 BMW M 2022 yang diraikan di seluruh dunia, QAF Auto Sdn Bhd, pengimport dan pengedar tunggal kenderaan BMW di Negara Brunei Darussalam juga telah meraikan sambutan ulang tahun berkenaan bersama pelanggan BMW M di negara ini, kelmarin.
Sambutan itu dimulakan dengan majlis minum petang di Bilik Pameran BMW, Beribi di mana ia turut mempamerkan BMW M 50 Jahre Edition BMW M3, BMW M235i dan BMW M135i.
Model BMW M 50 Jahre Edition didatangkan dengan logo klasik ‘BMW Motorsport’ yang boleh dilihat di hab hadapan, belakang dan roda.
Sejurus selesai majlis minum petang, sekitar 30 buah kereta BMW M berlepas secara berkonvoi ke BRIDEX Jerudong untuk mengambil bahagian dalam sesi penggambaran dengan membentuk nombor 50 menggunakan kereta BMW M mereka sendiri.
Pembentukan nombor 50 itu menandakan peristiwa bersejarah bagi BMW Brunei dan pemilik serta peminat BMW M.
Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo, dalam ucapannya berkata, “Sempena memperingati 50 tahun BMW M, kami sangat terharu dengan sokongan padu semua pemilik dan peminat BMW M di Brunei, yang mana kebanyakannya telah memberikan sokongan berterusan dalam menjayakan apa jua acara yang diungkayahkan. Sokongan yang tidak berbelah bahagi ini adalah penting kepada kejayaan kami di Brunei dan di peringkat global dan acara ini merupakan satu contoh sebenar perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat Brunei BMW M.”