Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – QAF Auto baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah kereta coupe sport baharu, BMW M2 pada majlis BMW M Weekend yang berlangsung di Perindustrian Ringan Lugu.
Majlis bermula dengan acara konvoi dari Bilik Pameran QAF Auto, Perindustrian Beribi menuju Jerudong Park yang disertai oleh pemilik-pemilik kereta BMW M dan M Performance dengan diketuai oleh Pengurus Kawasan BMW Asia, Jessica Carret dan Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo.
Di Jerudong Park, peserta konvoi juga berpeluang menyertai aktiviti gokart sebelum menuju ke majlis pelancaran BMW M2 serba baharu.
Alisa Khoo berkata, M2 merupakan titik kemasukan ke dalam dunia kereta sport berprestasi tinggi BMW M.
“Coupe sport ini merangkumi keseronokan memandu yang sebenar. BMW M2 menawarkan dimensi kompak, pacuan roda belakang dan pelbagai butiran khusus M yang pastinya menggembirakan semua pemandu,” ujarnya.
BMW M2 generasi kedua berkenaan dilengkapi dengan pelbagai teknologi canggih. Dengan teknologi powertrain, konfigurasi casis serta keseimbangan aerodinamik tertinggi, BMW M2 baharu berkenaan meneruskan tradisi model ultra sportif jenama berkenaan dengan dimensi kompak yang bermula pada 1973 dengan ketibaan BMW 2002 turbo.
Didatangkan dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan, enjin kereta mewah itu mampu memecut dari posisi henti hingga 100kmsj dalam masa 4.1 saat sahaja dengan kelajuan tertinggi mencecah 250kmsj.