Monday, September 16, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    BMW sasar kereta berkuasa hidrogen menjelang 2028

    FRANKFURT, 6 SEPT – Pengeluar kereta mewah Jerman, BMW berkata kelmarin ia telah menyasarkan untuk mengeluarkan kereta berkuasa hidrogen pertamanya secara besar-besaran pada 2028, dengan menggunakan teknologi sel bahan api yang dibangunkan bersama Toyota, Jepun.

    Hidrogen telah lama disebut-sebut sebagai alternatif kepada bahan pembakar enjin apabila beberapa buah negara mengetatkan sasaran iklim mereka, tetapi ia kekal sebagai teknologi khusus yang dihambat oleh kos tinggi dan kekurangan infrastruktur.

    BMW berkata ia akan memperdalam kerjasamanya dengan Toyota untuk bersama-sama membangunkan sistem penjana kuasa bagi kenderaan hidrogen, menggunakan sinergi untuk menurunkan kos dan memperkenalkan generasi teknologi sel bahan api.

    “Model yang dibangunkan oleh BMW dan Toyota menggunakan teknologi itu akan mengekalkan identiti jenama tersendiri mereka,” kata kenyataan itu.

    Toyota melancarkan Mirai, kenderaan sel bahan api hidrogen pasaran besar-besaran pertama di dunia pada 2014, tetapi jualannya telah menjadi lembap pada beberapa ribu unit setahun.

    “BMW dan Toyota berkongsi minat yang sama untuk kereta dan kepercayaan terhadap ‘keterbukaan teknologi’ dan pendekatan pelbagai kaedah tentang bebas karbon,” kata Presiden Toyota, Koji Sato.

    BMW berkata ia merancang untuk melancarkan model berkuasa hidrogen pertamanya pada 2028, selepas menguji kereta konsep hidrogen BMW iX5.

    Model yang dikeluarkan secara besar-besaran itu akan mempunyai harga yang menarik pelanggan, kata Naib Presiden Kenderaan Hidrogen di BMW, Michael Rath, kepada pemberita tanpa memberikan butiran lanjut.

    BMW adalah salah satu daripada beberapa pengeluar kereta Eropah yang mengusahakan projek hidrogen, dengan kebanyakan pengeluar meramalkan kenderaan elektrik berkuasa bateri akan menggantikan enjin bahan api fosil dalam kereta penumpang. – AFP

    Para pengunjung melihat kereta SUV dikuasakan sel bahan api hidrogen, BMW iX5, di Ekspo Industri Iklim Dunia (2024 WCE) yang diadakan di BEXCO di Busan pada 4 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda