BMW terus catat pertumbuhan positif

MUNICH, 12 JAN – BMW Group sekali lagi mengesahkan kedudukannya sebagai pengeluar automotif premium terkemuka di dunia tahun lalu, dengan sejumlah 2,324,809 kenderaan BMW, MINI dan Rolls-Royce dihantar kepada pelanggan di seluruh dunia.

Menurut kenyataan daripada BMW Group, di sini, sebanyak 686,069 kenderaan dijual di peringkat kumpulan pada suku keempat, meningkat tiga peratus tahun ke tahun. Penjualan kenderaan hibrid plug-in pula meningkat hampir 40 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan minat pelanggan yang tinggi terhadap varian kereta tersebut.

Menurut ahli Lembaga Pengurusan BMW AG yang bertanggungjawab untuk Pelanggan, Jenama dan Penjualan, Pieter Nota, pandemik telah mendorong syarikat itu untuk terus komited dalam mencapai perkembangan dari segi pengurusan penjualan dan pengeluaran.

“Hasilnya, kami berjaya mengakhiri tahun ini dengan suku keempat yang kukuh dan sekali lagi kami menerajui segmen premium di seluruh dunia.

“Terima kasih kepada teknologi EfficientDynamics, di mana lebih daripada 135,000 kenderaan elektrik berjaya dihantar ke Eropah, di mana kami telah memenuhi sasaran CO2 kami di EU,” tambahnya.

Berikutan dengan penularan koronavirus dan untuk menjaga penjarakan fizikal antara pelanggan, BMW Group juga mengambil inisiatif memperkenalkan kaedah pembelian secara dalam talian.

Syarikat tersebut juga secara meluas akan melaksanakan proses penjualan secara dalam talian untuk rakan niaga dalam pasaran utama melalui laman web dan akan melancarkan penawaran tersebut dalam pasaran tambahan tahun ini.

BMW mencatatkan perkembangan positif dengan menjual sebanyak 2,324,809 kenderaan BMW, MINI dan Rolls-Royce. – Gambar serahan BMW Group