Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Persatuan Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam (BNA) telah membina asas kepimpinan yang strategik dan kukuh dalam memimpin pertumbuhan bola jaring di negara ini selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, baru-baru ini.
Mesyuarat tersebut diadakan dengan sokongan berterusan daripada Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah, serta pengiktirafan terhadap pembangunan bola jaring oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Sehubungan itu, sebuah jawatankuasa kepimpinan baharu bagi penggal 2025-2027 telah dilantik untuk menerajui persatuan tersebut dan mengangkat sukan bola jaring di peringkat kebangsaan dan serantau ke tahap yang lebih tinggi.
Leftenan Kolonel (B) Hajah Wan Shahlimar binti Haji Suhaili dipilih semula sebagai presiden, meneruskan kepimpinannya dalam memimpin persatuan ke arah hala tuju yang lebih strategik. Dayang Shahrinah binti Haji Mohd Yusof Khan dilantik sebagai timbalan presiden, manakala Dayang Masnurfaiza binti Haji Zaini mengambil alih peranan sebagai setiausaha agung.
Dengan visi yang jelas dan rancangan strategik yang tersusun, BNA kekal teguh dalam komitmennya untuk meningkatkan pertumbuhan bola jaring di Brunei Darussalam sambil mengembangkan kehadirannya di pentas serantau.