Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    BNM: Kadar rizab Malaysia tetap boleh guna

    KUALA LUMPUR, 29 Dis – Maklumat terperinci rizab antarabangsa berdasarkan format Standard Penyebaran Data Khas Tabung Kewangan Antarabangsa (SDDS IMF) menunjukkan rizab Malaysia pada akhir November 2017 adalah tetap boleh guna.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata butiran terperinci itu merangkumi maklumat mengenai saiz, jenis dan kebolehgunaan rizab serta aset mata wang asing lain.

    Ia juga menunjukkan aliran masuk dan keluar pertukaran asing yang dianggarkan terlebih dahulu dan di luar jangkaan bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

    Menurut bank pusat itu, rizab rasmi adalah berjumlah AS$101.87 bilion manakala aset mata wang asing adalah AS$1.83 bilion setakat akhir November 2017.

    Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek bagi pinjaman dalam mata wang asing disebabkan oleh pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan pula diunjurkan sebanyak AS$254.1 juta.

    Selain itu, jumlah kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak AS$11.09 bilion pada akhir November 2017 yang mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam sistem kewangan.

    BNM berkata, sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk anggaran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek sebanyak AS$2.49 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.

    Maklumat terperinci itu juga menunjukkan satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek bagi aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri yang akan matang dalam tempoh setahun berjumlah AS$179.0 juta.

    “Rizab antarabangsa Malaysia juga tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang berserta opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain.

    “Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” kata kenyataan itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda