KUALA LUMPUR, 30 Nov – Aset rizab rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$101.47 bilion, manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$919.0 juta pada akhir Oktober 2017. (AS$1=RM4.08)
Dalam kenyataan di sini, bank pusat itu berkata, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek bagi pinjaman dalam mata wang asing disebabkan pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan diunjurkan sebanyak AS$250.8 juta.
Sementara itu, jumlah kedudukan hadapan pendek sebanyak AS$11.88 bilion pada akhir Oktober 2017, mencerminkan pengurusan semasa mudah tunai ringgit dalam sistem kewangan, menurut BNM dalam ‘Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada akhir Oktober 2017’ yang dikeluarkan hari ini.
“Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk anggaran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah AS$2.48 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang,” menurut bank pusat itu.

Katanya satu-satunya salur keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$183.2 juta.
Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang berserta opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain.
BNM berkata ia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit. – Bernama