JAKARTA, 28 OKT – Agensi Narkotik Kebangsaan (BNN) Indonesia memberi amaran sindiket dadah kini menggunakan pelbagai cara baharu untuk mengedar bahan terlarang termasuk menyasarkan golongan pelajar, lapor agensi berita ANTARA.
Ketua BNN, Pesuruhjaya Tinggi Jeneral Suyudi Ario Seto, berkata bahan terlarang kini tidak lagi dilakukan dalam bentuk konvensional, sebaliknya disamarkan sebagai gula-gula, minuman serta rokok elektronik atau vape.
Bercakap pada Kem Nasional Antidadah di Jakarta pada Sabtu, Seto menyeru pelajar agar sentiasa berwaspada dan menolak godaan untuk mencuba bahan berbahaya.
“Mencuba dadah walaupun sekali boleh menyebabkan ketagihan. Lama-kelamaan, penyalahgunaan dadah boleh merosakkan otak, kesihatan fizikal dan mental, malah dalam banyak kes boleh membawa maut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.
Seto menegaskan bahawa golongan muda memainkan peranan penting dalam melindungi negara daripada ancaman narkotik, sambil memuji semangat peserta kem yang menunjukkan keprihatinan terhadap masa depan Indonesia.
Kem anjuran Barisan Intelektual Strategi Objektif Nasional (BISON) itu dianggap sebagai usaha positif untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap bahaya dadah.
Program itu turut berperanan sebagai platform pembinaan sahsiah, mengukuhkan tekad serta menanam semangat saling melindungi dalam kalangan generasi muda daripada ancaman narkotik.
Utusan Khas Presiden bagi Pembangunan Belia dan Pekerja Kreatif, Raffi Ahmad yang turut hadir, mengingatkan peserta agar menjauhi dadah dan menumpukan usaha ke arah kecemerlangan. – Bernama


