Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    BNPL berpotensi di ASEAN sebalik cabaran pertumbuhan

    KUALA LUMPUR, 1 OGOS – Syarikat yang menawarkan perkhidmatan ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (Buy Now Pay Later (BNPL) mempunyai potensi besar di rantau ASEAN walaupun berdepan pelbagai cabaran yang akan menjejaskan pertumbuhan sektor itu, kata Moody’s Investors Service.

    Menurutnya pasaran BNPL di ASEAN masih kecil, sekali gus memberi ruang yang luas untuk pertumbuhan.

    Katanya potensi pengembangan BNPL akan didorong oleh pertumbuhan pesat e-dagang memandangkan ia akan menarik lebih ramai pembeli untuk mengguna pakai perkhidmatan tersebut sebagai pilihan pembayaran. “Urus niaga BNPL telah meningkat ketara sejak bermulanya pandemik COVID-19 berikutan sekatan pergerakan dan interaksi sosial yang mendorong pengguna untuk lebih memanfaatkan platform e-dagang.

    “Penggunaan BNPL sebagai pilihan pembayaran untuk membeli-belah secara dalam talian akan meningkat seiring walaupun dengan asas yang rendah berikutan kelebihannya yang menarik minat pengguna dan peniaga,” katanya menerusi nota hari ini.

    Menurut satu unjuran oleh Frost & Sullivan, jumlah nilai urus niaga BNPL di rantau ini akan meningkat kepada AS$28 bilion pada 2026 berbanding AS$8.2 bilion pada 2022 dengan jumlah pengguna aktif naik kepada 127 juta berbanding 37 juta.

    Selain itu, kadar penembusan bank yang rendah serta demografi lebih muda di rantau ini turut memberikan dorongan terhadap pertumbuhan BNPL.

    “Kumpulan pengguna yang mempunyai akses terhad kepada perkhidmatan perbankan adalah besar, sekali gus menawarkan peluang kepada syarikat BNPL berikutan perkhidmatan itu mudah untuk digunakan.

    “Malah, populasi besar golongan remaja memberi potensi pertumbuhan yang luas kepada sektor BNPL berikutan kumpulan ini aktif membeli-belah dalam talian serta pengguna utama perkhidmatan ini,” menurut Moody’s.

    Bagaimanapun, menurutnya pertumbuhan tersebut boleh dikekang oleh beberapa cabaran.

    Menurutnya syarikat BNPL menanggung perbelanjaan tinggi dan membuat pelaburan besar dalam teknologi untuk mencapai pertumbuhan pantas di tengah-tengah persaingan ketat, sekali gus mengakibatkan kerugian besar. Selain itu, dasar monetari diperketatkan di seluruh dunia akan menyebabkan kos pinjaman yang lebih tinggi bagi syarikat-syarikat BNPL, katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...