BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Pusat Sains Neuro, Strok dan Rehabilitasi Brunei (BNSRC) akan menganjurkan persidangan antarabangsa sulungnya dinamakan BNSRC Frontiers 2019 – New Horizons, bermula esok hingga 3 November di Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC).
BNSRC dalam kenyataannya menjelaskan, persidangan itu akan menghimpunkan pembentang-pembentang antarabangsa dalam bidang neurologi, pembedahan neuro, neurologi intervensi dan perubahan pemulihan dari Australia, Kanada, Malaysia, India, Singapura, United Kingdom dan Brunei Darussalam.
Kenyataan menambah, ia merupakan peluang untuk menjalin rangkaian bersama ahli-ahli akademik dan pakar lain dalam bidang penyelidikan yang sama atau serupa untuk berkongsi pandangan mengenai perkembangan dan kemajuan teknologi terkini.
Persidangan juga menghimpunkan ramai peserta yang berkongsi disiplin sama daripada pelbagai bahagian dunia sekali gus mengetengahkan kesediaan PJSC dan negara ini untuk menghoskan persidangan-persidangan dan acara serantau dan antarabangsa.
Beberapa bengkel juga akan diadakan sepanjang persidangan berkenaan di samping persidangan utama pada 2 dan 3 November.