Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Pusat Pemulihan dan Strok Neurosains Brunei
(BNSRC) dan dunia memperingati Hari Parkinson Sedunia setiap 11 April yang didedikasikan untuk menyokong penghidap Parkinson, untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit itu dan kesannya terhadap individu, penjaga dan komuniti.
BNSRC, di bawah Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), dalam artikel yang dikongsikan hari ini menjelaskan bahawa penyakit Parkinson adalah keadaan degeneratif otak progresif yang mengakibatkan keabnormalan dalam pergerakan.
Terdapat kehilangan secara beransur-ansur pada fungsi sel saraf bahagian otak yang digelar substantia nigra untuk menghasilkan dopamine, iaitu neurotransmitter yang membantu mengawal pergerakan.
Ini membawa kepada masalah biasa yang dilihat dalam penyakit Parkinson, seperti gegaran, pergerakan perlahan (Bradykinesia), dan ketegaran otot yang kerap menyebabkan ketidakseimbangan gaya berjalan dan jatuh.
Gejala penyakit Parkinson biasanya akan bermula pada satu bahagian dan akan berkembang dari semasa ke semasa untuk melibatkan seluruh badan.
Ia biasanya memberi kesan kepada individu yang berumur 50 tahun ke atas tetapi juga boleh berlaku kepada individu yang lebih muda. Gejala pertama mungkin gegaran sedikit di sebelah tangan.
Pada peringkat seterusnya, keupayaan untuk menunjukkan ekspresi muka, menelan dan fungsi saraf autonomi yang mengawal usus, pundi kencing dan tekanan darah menjadi terjejas. Emosi dan keupayaan untuk berfikir juga boleh terjejas dan sesetengah individu mengalami gangguan mood dan tidur dan juga halusinasi.
Punca sebenar penyakit Parkinson tidak diketahui, namun kajian telah menunjukkan bahawa ia mungkin disebabkan gabungan faktor persekitaran seperti pendedahan kepada toksin, tekanan oksidatif, dan faktor genetik yang mempercepatkan degenerasi sel saraf.
Kira-kira 15 peratus penghidap penyakit Parkinson mempunyai sejarah keluarga tetapi kebanyakan kes berlaku secara spontan.
BNSRC menerima pesakit Parkinson dengan menyediakan pengurusan penyakit yang betul untuk kualiti hidup mereka.
Rawatan untuk penyakit Parkinson termasuk ubat, terapi fizikal, terapi pertuturan dan pembedahan dalam beberapa kes. Ubat-ubatan seperti levodopa dan dopamine agonists boleh membantu meningkatkan tahap dopamine dalam otak dan meningkatkan fungsi motor.
Terapi fizikal dan pertuturan pula boleh membantu meningkatkan kemahiran pergerakan, keseimbangan dan komunikasi. Pembedahan, seperti rangsangan dalam otak juga boleh menjadi pilihan untuk sesetengah pesakit.