BOSTON, 5 MAC – Pegawai udara Amerika Syarikat (AS) yang dituduh membocorkan sekumpulan dokumen rahsia Pentagon dalam talian mengaku bersalah di mahkamah persekutuan kelmarin di bawah perjanjian di mana dia menerima hukuman penjara 17 tahun sebagai tukaran kepada pengguguran tuduhan pengintipan yang lebih serius oleh pendakwa raya.
Jack Teixeira, yang memakai baju penjara berwarna jingga, mengaku bersalah atas enam pertuduhan menyebarkan maklumat pertahanan negara dengan sengaja, tetapi dalam perjanjian yang dicapai di antara pendakwa raya dan peguam tentera tertuduh itu, dia tidak menghadapi tuduhan pengintipan.
Dia akan dihukum sehingga 16 tahun dan lapan bulan di bawah perjanjian itu, dan mesti membayar denda AS$50,000 dan membantu pegawai perisikan untuk memahami sejauh mana kesan pendedahannya.
Pakar IT Pengawal Kebangsaan Udara Massachusetts telah ditangkap pada April lalu kerana didakwa mendalangi kebocoran dokumen sulit AS yang paling serius dalam sedekad, ada di antaranya membabitkan perang di Ukraine.
Sekiranya dia menghadapi pertuduhan di bawah Akta Pengintipan, Teixeira boleh dipenjarakan seumur hidup.
Apabila ditanya oleh hakim yang mempengerusikan perbicaraan sama ada dia mempunyai sebarang pertikaian dengan bukti, Teixeira berkata tidak. Apabila ditanya sama ada dia tahu dokumen itu adalah rahsia, dia menjawab “Ya Yang Arif.”
Teixeira dituduh menyiarkan dokumen itu sebahagiannya ada yang bertarikh seawal Mac 2023 ke kumpulan perbualan peribadi di platform media sosial Discord.
Beberapa fail kemudian muncul di laman web lain, termasuk Twitter, 4Chan dan Telegram. – AFP


