Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Boeing 787 menuju China patah balik ke Rom akibat kebakaran enjin

    ROM, 11 NOV – Sebuah pesawat Boeing 787-9 Dreamliner yang dikendalikan oleh Hainan Airlines terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Fiumicino, Rom sejurus selepas berlepas semalam akibat kebakaran pada enjin, lapor Xinhua.

    Pesawat yang membawa 249 penumpang dan 16 anak kapal itu berjaya mendarat semula dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.

    Menurut Pengawal Pantai Itali, kebakaran itu dipercayai berpunca akibat bird strike, iaitu insiden burung bertembung dengan pesawat, yang sering berlaku semasa fasa berlepas atau pendaratan.

    Dalam satu kenyataan, Hainan Airlines memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan mengesahkan bahawa bird strike disyaki sebagai punca kejadian.

    Syarikat itu turut menyediakan pelbagai pilihan kepada penumpang yang terjejas, termasuk penerbangan alternatif bagi mereka yang ingin meneruskan perjalanan atau bayaran balik serta pampasan bagi yang membatalkan rancangan mereka.

    Laporan media menyebut bahawa kebakaran berlaku pada enjin kanan pesawat, menyebabkan kru bertindak pantas dengan melakukan pelepasan bahan api kecemasan ke laut sebelum kembali mendarat dengan selamat di lapangan terbang.

    Pesawat itu, yang berlepas dari Fiumicino pada 9:55 pagi waktu tempatan menuju Shenzhen, China berpatah balik dan mendarat sekitar pukul 11 pagi waktu tempatan.

    Pihak berkuasa masih belum mengesahkan sejauh mana kerosakan yang dialami pesawat itu.

    Pegawai Lapangan Terbang Fiumicino memaklumkan bahawa operasi trafik udara tidak terjejas, dan tiada kelewatan ketara berlaku bagi penerbangan lain. – Bernama

    Gambar ANN/TheStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda