NEW YORK, 16 APRIL – Syarikat penerbangan gergasi Amerika Syarikat (AS), Boeing, yang baru mengalami pertikaian buruh dan krisis kawalan kualiti, kini terlibat dalam konflik perdagangan semakin memuncak antara Washington dan Beijing.
Pengeksport terbesar AS, Boeing telah dibelenggu pertikaian selepas Presiden Donald Trump mengenakan tarif baharu sehingga 145 peratus ke atas banyak produk China, mengakibatkan Beijing turut membalas dengan tarif 125 peratus.
Tarif itu menambah dua kali ganda kos pesawat dan alat ganti yang dikeluarkan di AS.
Trump kelmarin menuduh China memungkiri perjanjian besar Boeing, berikutan laporan Bloomberg mengatakan Beijing mengarahkan syarikat penerbangan untuk tidak menerima penghantaran pesawat syarikat itu selanjutnya.
Laporan itu juga mengatakan Beijing meminta syarikat penerbangan China menghentikan pembelian peralatan dan alat ganti berkaitan pesawat daripada syarikat AS.

Boeing enggan mengulas mengenai perkara itu.
Minggu lalu, Bloomberg melaporkan Juneyao Airlines China telah menangguhkan penghantaran pesawat Boeing kerana konflik perdagangan yang semakin meningkat terhadap kos produk yang mahal.
Laman web Boeing menunjukkan buku pesanannya pada akhir Mac mengandungi 130 pesawat hasil pembelian pelanggan dari China, termasuk syarikat penerbangan dan syarikat pemajakan.
Bagaimanapun, memandangkan sesetengah pembeli memilih enggan mendedahkan nama, angka sebenar mungkin lebih tinggi.
Penganalisis Bank of America (BofA) menyatakan Boeing dijadualkan menghantar 29 pesawat tahun ini kepada syarikat China yang dikenal pasti, tetapi menambah sebahagian besar pelanggan tidak dikenali yang membeli pesawat terdiri daripada warga Cina. – AFP