NEW YORK, 19 OKT – Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat pada Jumaat lalu membenarkan Boeing meningkatkan pengeluaran pesawat 737 Max dengan menaikkan had bulanan yang dikenakan selepas insiden palam pintu tercabut daripada pesawat Alaska Airlines yang dibina oleh syarikat itu.
Menurut FAA, Boeing kini dibenarkan mengeluarkan 42 pesawat Max sebulan, meningkat daripada 38 sebelum ini, selepas pemeriksa keselamatan menjalankan penilaian menyeluruh terhadap barisan pengeluaran syarikat aeroangkasa berkenaan bagi memastikan peningkatan pengeluaran dapat dilakukan dengan selamat.
Agensi itu telah menetapkan had pengeluaran tidak lama selepas insiden menakutkan yang berlaku pada Januari 2024 melibatkan pesawat Alaska Airlines 737 Max.
Namun dalam pelaksanaannya, kadar pengeluaran jatuh jauh di bawah had tersebut tahun lalu apabila syarikat berdepan siasatan dan mogok pekerja yang menyebabkan kilang terhenti hampir lapan minggu.
Boeing memaklumkan pada musim panas lalu bahawa mereka telah mencapai had bulanan pada suku kedua dan akan memohon kebenaran FAA untuk meningkatkan lagi pengeluaran pesawat itu.
Jurucakap Boeing pada Jumaat berkata syarikat tersebut telah mengikuti ‘proses konsisten’ bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk meningkatkan pengeluaran dengan selamat, berpandukan garis panduan keselamatan dan matlamat prestasi yang ditetapkan bersama FAA.
“Kami menghargai usaha pasukan kami, para pembekal dan FAA dalam memastikan kami bersedia meningkatkan pengeluaran dengan keselamatan dan kualiti menjadi keutamaan,” kata Boeing dalam kenyataan itu.
FAA turut menegaskan pada Jumaat bahawa kelulusan baharu itu tidak akan mengubah cara mereka memantau proses pengeluaran Boeing serta usaha memperkukuh budaya keselamatan syarikat berkenaan, sambil menambah bahawa pemeriksa FAA di kilang Boeing terus bekerja walaupun semasa penutupan kerajaan persekutuan yang bermula 1 Oktober lalu. – AP


