Boeing labur AS$200 juta bina pesawat tentera laut

SPRINGFIELD, ILLINOIS, 17 SEPT – Syarikat aeroangkasa Boeing Co akan melabur AS$200 juta untuk memulakan pembinaan pesawat udara terbaharu Tentera Laut AS di Lapangan Terbang St Louis MidAmerica dalam projek yang mungkin menambah lebih daripada 150 pekerjaan di kampus syarikat di Illinois, menurut satu pengumuman hari ini.

Boeing merancang membina MQ-25 Stingray, pesawat udara pertama tentera laut di kilang canggih dengan keluasan 27,034 meter persegi, menurut kenyataan media yang diberikan kepada The Associated Press. Pegawai kerajaan dan syarikat merancang mengumumkan rancangan itu pada sidang media di MidAmerica di Mascoutah, kira-kira 47 kilometer dari tenggara St Louis.

“Syarikat aeroangkasa terbesar dunia akan menambah pelaburan di Illinois yang membuktikan kekuatan aset kami dalam sektor pengangkutan dan logistik dan bakat pekerja kami yang terbaik di dunia,” kata Gabenor Illinois J.B. Pritzker dalam satu kenyataan.

Beliau menambah dana kerajaan berjumlah AS$57 juta telah diperuntukkan untuk pembaikan Lapangan Terbang St Louis MidAmerica, hampir separuh yang akan merangsang projek Boeing.

Menurut Boeing, MQ-25 Stingray, yang dibangunkan daripada kontrak 2018 dengan tentera laut, merupakan pesawat udara mengisi minyak dan dicipta untuk ‘penyepaduan tanpa batasan’ di dek penerbangan kapal induk pesawat udara.

Pembinaan di kilang MidAmerica dijadual bermula pada akhir tahun ini dan akan siap pada awal 2024. Pengeluaran akan bermula pada pertengahan 2024.

Kilang itu akan memaparkan automasi robotik dan ‘teknik pemasangan canggih’ bertujuan mempertingkat kualiti produk serta ergonomik dan keselamatan pekerja. Kejuruteraan digital Boeing MQ-25 dan sistemnya mempromosi kualiti produk dan kecekapan, kata pegawai. – AP

Gambar fail menunjukkan logo syarikat Boeing di bangunan El Segundo, California. Boeing akan melabur AS$200 juta untuk membina pesawat udara tentera laut di Lapangan Terbang St Louis MidAmerica. – AP