CHICAGO, 12 MAC – Saham Boeing merosot 18 peratus kelmarin, penurunan terbesar sehari semenjak tahun 1974 dan ketua-ketua syarikat pula menggambarkan keadaan yang suram bagi perniagaan dalam 2020.
Saham Boeing Co. jatuh di bawah AS$200 buat pertama kali semenjak pertengahan 2017, ditutup pada harga AS$189.08. Ia sudah pun jatuh sebanyak 58 peratus dalam masa setahun.
Kejatuhan terbaharu ini berlaku selepas Bloomberg News melaporkan bahawa Boeing tidak lama lagi akan mengeluarkan jumlah wang akhir sebanyak AS$13.8 bilion daripada pinjaman bank diatur lebih sebulan lalu. Syarikat itu sudah pun menggunakan sejumlah pinjaman itu semenjak ia menghentikan penghantaran 737 Max pada musim luruh dan tidak jelas bila pengawal atur akan membenarkan pesawat itu terbang lagi.
Syarikat berpusat di Chicago itu mengatakan ia sudah pun melaksanakan pembekuan bagi pengambilan pekerja dalam respons terhadap penularan virus COVID-19 yang mengurangkan perjalanan udara dan mengancam tempahan pesawat baharu bagi syarikat penerbangan.
Boeing mengatakan ia menerima 18 tempahan bulan lalu bagi pesawat besar baharu, namun 46 tempahan dibatalkan, kebanyakannya bagi Boeing 737 Max yang bermasalah, mengakibatkan syarikat itu menanggung kerugian bersih 28 tempahan dalam Februari. – AP
