NEW YORK, 21 NOV – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boeing yang baharu memberitahu pekerja bahawa syarikat itu menghadapi masalah budaya yang serius dan tidak mampu melakukan kesilapan lagi, menurut satu laporan kelmarin.
Pada mesyuarat selama sejam, Kelly Ortberg, yang menyertai Boeing sebagai CEO pada Ogos, menggesa pekerja untuk bersikap bertanggungjawab apabila mereka melihat masalah, Wall Street Journal melaporkan selepas menyemak rakaman mesyuarat berkenaan.
“Boeing telah menghadapi banyak pasang surut,” kata Ortberg. “Kita (sekarang) berada di tempat yang sangat rendah, kawan.”
“Jangan hanya banyak mengumpat tentang orang lain semasa minum di water cooler,” katanya. “Mari kita fokus pada tugas yang ada.”
Ortberg juga menceritakan perbualannya dengan Donald Trump di mana kedua-duanya membincangkan potensi tarif.
Ortberg memberitahu pekerja bahawa perang perdagangan dengan China akan membebankan Boeing, menurut akhbar itu.
Pertemuan itu diadakan kira-kira dua setengah minggu selepas pekerja Boeing di kawasan Seattle meneliti kontrak baharu, menamatkan mogok lebih tujuh minggu yang menutup dua kilang pemasangan dan merehatkan kira-kira 33,000 pekerja.
Mogok itu telah memburukkan lagi pandangan tentang Boeing yang sudah tidak stabil selepas insiden Januari lalui di mana panel fiuslaj meletup pada pertengahan penerbangan pesawat 737 MAX bawah kendalian Alaska Airlines.
Ortberg sebelum ini pernah menggesa ‘perubahan budaya asas’ di Boeing dengan menekankan bahawa ia akan mengambil masa untuk memulihkan syarikat yang bergelut pelbagai masalah termasuk kontrak pertahanan yang merugikan.
Pada 12 Oktober, Boeing melancarkan rancangan untuk mengurangkan tenaga kerja globalnya sebanyak 10 peratus dalam beberapa bulan akan datang.
Boeing berkata awal minggu ini ia berhasrat untuk mengurangkan hampir 2,200 pekerjaan di negeri Washington, AS, yang merupakan rumah kepada banyak kilang-kilang lama syarikat tersebut. – AFP