NEW YORK, 16 JULAI – Boeing kelmarin mengumumkan ia telah memuktamadkan tempahan tetap dengan syarikat pemajakan, Aviation Capital Group, untuk 35 pesawat 737 MAX, bernilai hampir AS$4.5 bilion.
Dalam satu kenyataan, Boeing berkata tempahan tersebut merangkumi 16 unit 737 MAX 8 dan 19 unit 737 MAX 10, versi terbesar dalam keluarga pesawat itu yang masih menunggu kelulusan pensijilan daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).
Tempahan baharu oleh ACG, subsidiari Tokyo Century Corporation dari Jepun, menjadikan jumlah keseluruhan pesawat 737 MAX dalam armada syarikat tersebut meningkat kepada 82 unit.
Pengumuman itu dibuat menjelang Pameran Udara Antarabangsa Farnborough di United Kingdom, ketika Boeing berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Awal hari ini, Boeing mengumumkan akan mengurangkan programnya di pameran tersebut yang dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 26 Julai, untuk menumpukan perhatian kepada peningkatan kualiti pengeluaran.
Beberapa bulan kebelakangan ini, Boeing mengalami masalah pengeluaran dan keselamatan yang mencetuskan pelbagai siasatan serta memperlahankan pengeluaran 737 MAX.
Masalah itu diperhatikan dengan lebih teliti selepas kejadian hampir meragut nyawa pada Januari lalu melibatkan pesawat 737 MAX Alaska Airlines, yang terpaksa membuat pendaratan kecemasan akibat kerosakan pada panel badan pesawat.
Insiden tersebut memberi kesan kepada buku tempahan dan kadar pengeluaran syarikat.
Pada Jun lalu, Boeing menyerahkan 35 pesawat dalam keluarga 737, termasuk 34 737 MAX, berbanding 60 pesawat pada tahun sebelumnya, dan hanya memperoleh tiga tempahan kasar untuk 737 MAX, berbanding 304 tempahan kasar pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pesawat 737 MAX 8 mampu membawa sehingga 210 penumpang dengan jarak maksimum 6,480 kilometer, manakala 737 MAX 10 boleh menampung sehingga 230 penumpang dengan jarak maksimum 5,740 kilometer. – AFP