Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Boko Haram guna kaedah hi-tech

    ABUJA, 30 Nov – Kumpulan pengganas, Boko Haram, telah beralih kepada penggunaan teknologi tinggi ketika menyerang pasukan tentera di wilayah timur laut negara itu, lapor agensi berita China memetik kenyataan Tentera Nigeria, semalam.

    Dalam kenyataan itu, Panglima Tentera Tukur Buratai berkata Boko Haram kini menggunakan dron dan tentera upahan ketika melakukan serangan, satu trend yang mendatangkan ancaman keselamatan serius kepada negara.

    “Dalam tempoh dua hingga tiga bulan lepas, kami telah melihat beberapa tindakan berani yang dilakukan oleh pengganas dengan peningkatan penggunaan dron terhadap kedudukan pertahanan kami dan penyertaan pejuang asing dalam barisan mereka.

    “Kesemua ancaman berbahaya ini memerlukan kami untuk terus mengkaji operasi kami,” kata Buratai.

    Beliau mengesahkan bahawa pengganas Boko Haram telah menyerang sekurang-kurangnya lima lokasi tentera antara 2 hingga 18 November dan menambah bahawa bagaimanapun, kesemua serangan itu berjaya ditangkis oleh tentera.

    Sejak 2009, Boko Haram telah cuba untuk menubuhkan sebuah negara Islam di timur laut Nigeria, dalam proses itu membunuh berpuluh-puluh ribu orang serta menyebabkan berjuta lagi tersingkir.

    Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kumpulan itu telah menimbulkan ancaman yang serius terhadap keselamatan, kemanusiaan dan tadbir urus di Tasik Chad Basin.

    Empat negara yang terjerumus kancah pemberontakan itu ialah Cameroon, Chad, Niger dan Nigeria. PBB berkata Boko Haram telah menyebabkan hampir 2.4 juta orang di sub-kawasan Tasik Chad tersingkir. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda