Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Bola api’ terangi langit Jepun

    TOKYO, 20 OGOS – Fenomena bola api terang melintasi langit barat Jepun lewat malam kelmarin mengejutkan penduduk dan mencetuskan kekaguman pencerap bintang, namun pakar mengesahkan ia kejadian semula jadi.

    Rakaman video dan foto yang tular menunjukkan cahaya putih terang kelihatan dari ratusan kilometer sekitar 11 malam.

    Seorang pemandu di Wilayah Miyazaki, Yoshihiko Hamahata, memberitahu NHK, cahaya itu menyerupai siang sehingga bentuk rumah di sekeliling dapat dilihat jelas.

    Ketua Muzium Angkasa Sendai di Wilayah Kagoshima, Toshihisa Maeda, berkata fenomena itu adalah bola api, iaitu meteor luar biasa terang dan dipercayai berakhir di Lautan Pasifik.

    “Orang ramai melaporkan turut merasai gegaran udara. Ia secerah bulan,” katanya kepada AFP.

    Menurut NASA, objek yang mencetuskan fenomena bola api boleh melebihi satu meter saiznya. Jika meletup di atmosfera, ia dipanggil bolide, walaupun kedua-dua istilah sering digunakan secara bergantian. – AFP

    Bola api menyala di langit Jepun hanya beberapa saat sebelum lenyap. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda