Bola sepak Amerika Selatan pastikan jaminan maksimum

ASUNCION, 5 JUN – Bola sepak Amerika Selatan akan kembali semula dengan jaminan maksimum bagi kesihatan para pemain dan mereka yang terlibat, kata presiden CONMEBOL Alejandro Dominguez kepada pasukan perubatan dari 10 persatuan anggota rantau itu melalui panggilan video semalam.

Bola sepak di Amerika Selatan ditangguhkan sejak pertengahan bulan Mac lalu kerana wabak COVID-19.

Dominguez mengatakan akan ada “tindak balas untuk koordinasi, dan tanggungjawab sehingga kembalinya bola sepak dapat dilakukan dengan jaminan maksimum untuk semua orang.”

Bagaimanapun, badan pemerintah bola sepak Amerika Selatan akan menunggu untuk melihat apa langkah kesihatan yang diambil oleh negara sebelum memutuskan memulakan semula kejohanan utama, Copa Libertadores, kata pengarah pembangunan CONMEBOL, Gonzalo Belloso.

“Masalah paling sukar yang kita hadapi adalah perpindahan pasukan dan lapangan terbang,” kata Belloso, sambil menambah bahawa CONMEBOL berharap dapat memulakan semula perlawanan yang sama dengan Liga Juara-Juara Eropah UEFA pada bulan September. – AFP