Bola sepak Sepanyol kembali, Albacete tersungkur

MADRID, 11 JUN – Bola sepak Sepanyol kembali semula semalam untuk pertama kalinya setelah ditangguhkan selama tiga bulan akibat COVID-19 dengan perlawanan antara Rayo Vallecano dan Albacete.

Perlawanan semalam berlangsung di stadium tertutup Vallecas Rayo di selatan Madrid dan Luis Advincula memberikan kemenangan 1-0 kepada pasukan tuan rumah setelah terikat seri tanpa jaringan pada separuh masa pertama perlawanan dan Albacete terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain.

Setelah 92 hari sejak La Liga menangguhkan perlawanan kerana wabak COVID-19, perlawanan itu memberikan gambaran pertama kejohanan bola sepak di Sepanyol yang dimainkan tanpa peminat dan mengikut protokol kesihatan yang ketat. La Liga akan disambung semula pada hari Khamis dengan perlawanan antara Sevilla dan Real Betis.

Albacete sebelum itu telah menyiarkan gambar di media sosial pasukan itu makan di sebuah hotel eksklusif di Madrid sambil menjaga penjarakan sosial dan langkah-langkah kebersihan.

Semua pemain dan kakitangan mereka turun dari bas pasukan dengan memakai penutup mulut dan hidung dan sarung tangan. Mereka melakukan pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan memasuki stadium. – AFP

Aksi pemain pertahanan Rayo, Advincula semasa melakukan hantaran lintang bola semasa perlawanan Liga divisyen Kedua Sepanyol antara Rayo Vallecano dan Albacete di stadium Vallecas di Madrid semalam. – AFP